Peguam Tuntutan Nafkah Anak & Isteri
Nafkah bukan ihsan. Ia kewajipan suami dan bapa di sisi Hukum Syarak dan undang-undang. Jika nafkah tidak diberi, tidak mencukupi atau sering terputus, anda boleh memohon Mahkamah Syariah memerintahkannya.
- Peguam Syarie bertauliah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
- Konsultasi sulit, bersemuka atau dalam talian

Adakah ini situasi anda?
Ramai isteri dan ibu menanggung perbelanjaan keluarga seorang diri kerana tidak tahu hak mereka boleh dituntut di mahkamah. Tuntutan nafkah mungkin sesuai jika:
- Suami tidak memberi nafkah kepada anda, walaupun anda masih isterinya.
- Suami memberi nafkah sedikit dan tidak mencukupi untuk keperluan asas.
- Nafkah diberi tidak menentu, kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.
- Suami meninggalkan rumah dan anak-anak berada dalam jagaan anda.
- Selepas bercerai, bekas suami tidak menanggung nafkah anak-anak.
- Suami menjadikan tuduhan nusyuz sebagai alasan untuk berhenti memberi nafkah.
- Anda menanggung yuran sekolah, rawatan dan keperluan anak tanpa sumbangan bapanya.
Setiap kes bergantung pada fakta dan bukti. Penilaian awal membantu anda mengetahui tuntutan yang boleh dibuat dan jumlah yang munasabah.
Hak nafkah di sisi undang-undang
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memberi Mahkamah Syariah kuasa memerintahkan nafkah bagi isteri dan anak.
| Perkara | Kedudukan undang-undang |
|---|---|
| Nafkah isteris.59(1) | Mahkamah boleh, tertakluk kepada Hukum Syarak, memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. |
| Nusyuzs.59(2)–(3) | Isteri tidak berhak nafkah jika nusyuz, tetapi hanya tertakluk kepada pengesahan mahkamah. Nusyuz berakhir sebaik isteri bertaubat dan kembali taat. |
| Kewajipan menanggung anaks.72(1) | Bapa wajib menanggung anak-anaknya, sama ada anak itu dalam jagaannya atau jagaan orang lain: tempat tinggal, pakaian, makanan, rawatan dan pendidikan, mengikut kemampuan dan kedudukannya. |
| Perintah nafkah anaks.73(1) | Mahkamah boleh memerintahkan bapa membayar nafkah anak, antaranya jika dia enggan atau cuai menyediakan nafkah yang munasabah, atau meninggalkan isteri dan anak dalam jagaan isteri. |
| Bayaran kepada penjagas.73(3) | Nafkah anak boleh diarahkan dibayar kepada orang yang menjaga anak itu. |
| Nafkah interims.70 | Mahkamah boleh memerintahkan nafkah sementara yang berkuat kuasa serta-merta sementara tuntutan dibicarakan. |
| Tunggakans.69 dan s.77 | Tunggakan nafkah di bawah perintah mahkamah boleh dituntut sebagai hutang, termasuk daripada harta pusaka pihak yang ingkar. |
| Tempoh nafkah anaks.79 | Sehingga anak berumur 18 tahun. Mahkamah boleh melanjutkannya untuk pendidikan tinggi atau latihan. Bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat, perintah tidak tamat pada umur 18 tahun. |
Negeri lain
Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai peruntukan yang sama dalam enakmen undang-undang keluarga Islam masing-masing. Hanya nombor seksyen berbeza, lazimnya satu angka selepas Akta 303. Contohnya, kewajipan bapa menanggung anak ialah seksyen 73 dan tempoh nafkah anak ialah seksyen 80.
Bagaimana mahkamah menentukan jumlah nafkah
Tiada kadar tetap atau formula dalam undang-undang. Seksyen 61 Akta 303 menghendaki mahkamah menilai jumlah nafkah terutamanya berdasarkan kemampuan dan keperluan pihak-pihak, dengan mengambil kira nisbah nafkah itu kepada pendapatan orang yang diperintahkan membayar.
Kemampuan suami atau bapa
- Gaji, elaun dan pendapatan sampingan
- Hasil perniagaan atau aset lain
- Tanggungan lain, contohnya isteri atau anak lain
- Taraf hidup keluarga sebelum ini
Keperluan isteri dan anak
- Makanan dan keperluan harian
- Tempat tinggal dan utiliti
- Pakaian
- Persekolahan, yuran dan pengangkutan
- Rawatan dan kesihatan
Nafkah tertunggak: jangan tunggu terlalu lama
Kedudukan nafkah yang tidak dibayar pada masa lalu berbeza antara nafkah isteri dan nafkah anak.
Nafkah isteri
- Jika belum ada perintah
- Menurut Mazhab Syafie, nafkah isteri tidak gugur dengan berlalunya masa. Ia menjadi hutang suami yang boleh dituntut.
- Jika sudah ada perintah
- Tunggakan boleh dituntut sebagai hutang (s.69).
Nafkah anak
- Jika belum ada perintah
- Menurut Mazhab Syafie, nafkah anak gugur dengan berlalunya masa, kecuali ditetapkan oleh hakim atau hakim mengizinkan ia dibiayai secara berhutang. Dalam amalan, mahkamah pernah membenarkan tuntutan bagi tempoh lalu, tetapi ia bergantung pada bukti.
- Jika sudah ada perintah
- Tunggakan boleh dituntut sebagai hutang (s.77 dibaca bersama s.69).
Proses tuntutan nafkah
Susunan di bawah ialah gambaran umum. Perjalanan setiap kes bergantung pada fakta dan jadual mahkamah.
- Konsultasi dan penilaian awalPeguam menilai hak anda dan anak-anak, serta anggaran jumlah yang munasabah berdasarkan perbelanjaan dan pendapatan suami.
- Senarai perbelanjaan dan buktiPerbelanjaan bulanan isteri dan setiap anak disusun, bersama bukti pendapatan suami yang ada.
- Penyediaan dan pemfailanSaman dan penyata tuntutan disediakan, kemudian difailkan di Mahkamah Rendah Syariah. Jika tuntutan nafkah digabungkan dengan tuntutan lain yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, contohnya hak jagaan anak, ia boleh difailkan bersama di sana.
- Nafkah interimSementara menunggu keputusan, peguam lazimnya memohon perintah nafkah interim, terutamanya bagi anak-anak, supaya nafkah sementara dibayar sepanjang kes berjalan (s.70).
- SulhKes dirujuk ke majlis sulh untuk mencapai persetujuan tentang jumlah dan cara bayaran nafkah. Persetujuan yang dicapai direkodkan sebagai perintah mahkamah.
- PerbicaraanJika tiada persetujuan, kes dibicarakan. Anda mengemukakan bukti keperluan; suami boleh mengemukakan bukti kemampuannya.
- Perintah nafkahMahkamah menetapkan jumlah, tarikh dan cara bayaran, termasuk potongan gaji, dan boleh mengarahkan bayaran terus kepada penjaga anak.
Anggaran tempoh
| Keadaan kes | Anggaran kasar |
|---|---|
| Persetujuan dicapai di peringkat sulh | 1 hingga 2 bulan |
| Kes dibicarakan | 6 hingga 12 bulan |
| Nafkah interim | Beberapa minggu selepas permohonan |
Ini anggaran sahaja. Tempoh sebenar bergantung pada jadual mahkamah dan kehadiran pihak-pihak. Peguam akan memberi anggaran yang lebih tepat selepas menilai kes anda.
Dokumen dan bukti yang perlu disediakan
Tuntutan nafkah bergantung pada dua perkara: keperluan anda dan anak-anak, dan kemampuan suami. Sediakan apa yang ada; peguam akan membantu melengkapkannya.
Dokumen asas
- Kad pengenalan anda
- Sijil nikah, atau sijil cerai jika sudah bercerai
- Sijil kelahiran setiap anak
- Alamat dan tempat kerja suami yang diketahui
Bukti kemampuan suami (jika ada)
- Slip gaji, surat tawaran kerja atau maklumat majikan
- Maklumat perniagaan, kenderaan atau aset
- Gaya hidup yang menunjukkan kemampuan, contohnya kenderaan atau perbelanjaan besar
Bukti keperluan
| Perbelanjaan harian | Resit barangan dapur, bil utiliti, sewa atau pinjaman rumah |
| Persekolahan | Yuran sekolah atau tadika, buku, pengangkutan, kelas tambahan |
| Kesihatan | Resit klinik atau hospital, ubat, keperluan khas anak |
| Nafkah yang tidak diberi | Penyata bank, mesej meminta nafkah, rekod bayaran yang terputus |
Jika anda tidak tahu pendapatan sebenar suami, nyatakan apa yang anda tahu. Peguam akan menasihati cara mendapatkan maklumat selebihnya.
Selepas perintah nafkah dikeluarkan
| Keadaan | Tindakan yang boleh diambil |
|---|---|
| Keperluan anak bertambah, atau pendapatan suami berubah | Permohonan untuk mengubah jumlah nafkah boleh dibuat jika berlaku perubahan material dalam keadaan (s.66 bagi isteri, s.75 bagi anak). Permohonan ini dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan. |
| Suami tidak membayar | Jumlah tunggakan dimuktamadkan dahulu melalui tuntutan tunggakan (s.69 bagi isteri, s.77 bagi anak). Selepas itu, saman penghutang penghakiman boleh difailkan supaya mahkamah memeriksa kemampuan suami dan memerintahkan bayaran, termasuk secara ansuran. Pihak yang sengaja ingkar boleh dipenjarakan (s.132). |
| Anak tinggal bersama bapa tanpa perintah baharu | Perintah nafkah kekal berkuat kuasa sehingga diubah atau dibatalkan oleh mahkamah. Bapa tidak boleh menukar cara bayaran atau berhenti membayar dengan sendirinya. |
| Anak mencapai umur 18 tahun | Perintah boleh dibatalkan jika anak sudah dewasa dan berdikari, tetapi boleh dilanjutkan untuk pendidikan tinggi atau latihan. Perintah bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat tidak tamat pada umur 18 tahun (s.79). |
| Bercerai selepas perintah | Hak isteri kepada nafkah di bawah perintah tamat apabila tempoh iddah tamat (s.65). Nafkah anak berterusan. |
Perintah nafkah hanya berkesan jika dipatuhi. Simpan rekod setiap bayaran yang diterima, termasuk tarikh dan jumlah, supaya tunggakan mudah dibuktikan jika perlu.
Bagaimana Mahkamah Syariah memutuskan tuntutan nafkah
Keputusan mahkamah di bawah menunjukkan bagaimana hak nafkah dinilai dan dikuatkuasakan dalam amalan. Setiap kes bergantung pada faktanya sendiri; kes-kes ini tidak menjamin keputusan yang sama bagi kes lain.
Tuduhan nusyuz tidak semestinya menggugurkan hak nafkah
Siti Hasnah Jantan lwn. Saharum Shariff [2013] 1 CLJ (SYA) 169, Mahkamah Rendah Syariah Melaka Tengah (2011)
- Fakta
- Suami tidak memberi nafkah lebih tiga bulan dan memaki isteri dengan kata-kata kesat. Isteri keluar rumah.
- Keputusan
- Isteri yang keluar rumah kerana tidak diberi nafkah tidak dianggap nusyuz, lebih-lebih lagi tiada mahkamah pernah mensabitkannya nusyuz.
- Maksudnya
- Dakwaan nusyuz perlu dibuktikan di mahkamah. Ia tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk berhenti memberi nafkah.
Jumlah nafkah anak dinilai mengikut keperluan anak dan pendapatan bapa
Mohd Hassan Ghazali lwn. Siti Sharidza Mohd Sidque [2006] 1 CLJ (SYA) 20, Mahkamah Rendah Syariah Kelantan
- Fakta
- Ibu menuntut nafkah anak-anak daripada bapa yang tidak menanggung mereka.
- Keputusan
- Mahkamah menetapkan jumlah berdasarkan keperluan anak-anak dan pendapatan bapa, mengarahkan bayaran melalui potongan gaji, dan mengizinkan ibu berhutang bagi perbelanjaan anak. Perbicaraan tanpa kehadiran bapa yang telah disaman adalah sah.
- Maksudnya
- Bapa tidak boleh melengahkan kes dengan tidak hadir, dan bayaran boleh dipotong terus daripada gaji.
Nafkah anak bagi tempoh lalu boleh dituntut
Tijah lwn. Abdul Latif [1984] SHRU 24, Mahkamah Ulangbicara Melaka (1985)
- Fakta
- Ibu menuntut nafkah anak bagi tempoh bapa tidak menanggung mereka. Bapa mendakwa telah membayar melalui pihak ketiga.
- Keputusan
- Tunggakan nafkah anak selama 38 bulan dibenarkan kerana dakwaan bayaran itu tidak dibuktikan.
- Maksudnya
- Nafkah ialah hak anak. Bapa yang mendakwa sudah membayar perlu membuktikannya.
Keingkaran perintah nafkah boleh membawa hukuman penjara
Aminah A Rahman lwn. Faizul Ahmad [2016] SHRU 6, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu
- Fakta
- Bekas suami tidak membayar nafkah anak mengikut perintah mahkamah.
- Keputusan
- Tunggakan disahkan. Penghutang diperintah membayar, dan jika gagal, dipenjara 14 hari. Perubahan jagaan secara tidak rasmi tidak membebaskannya daripada perintah.
- Maksudnya
- Perintah mahkamah mesti dipatuhi sehingga diubah oleh mahkamah.
Bagaimana kami membantu

Tuntutan nafkah yang kukuh bergantung pada angka yang munasabah dan bukti yang tersusun. Kami membantu anda menyediakan kedua-duanya dan menerangkan setiap peringkat dengan jelas.
- Menilai tuntutan yang boleh dibuat: nafkah isteri, nafkah anak dan tunggakannya
- Menyusun senarai perbelanjaan yang munasabah dan disokong bukti
- Memohon nafkah interim jika keperluan mendesak
- Mewakili anda di majlis sulh dan perbicaraan
- Menasihati langkah seterusnya jika perintah tidak dipatuhi
Khidmat Penuh
Peguam menguruskan kes dari penilaian awal hingga perintah, termasuk mewakili anda di mahkamah.
Penyediaan Pliding
Anda menguruskan kes sendiri tetapi perlukan saman, penyata tuntutan dan afidavit disediakan dengan betul.
Penyediaan Hujahan
Anda hadir sendiri ke mahkamah tetapi perlukan hujahan bertulis yang tersusun.
Skop kerja dan anggaran kos diterangkan semasa konsultasi awal, sebelum anda membuat keputusan untuk melantik peguam. Lihat juga profil dan tauliah peguam serta semua khidmat guaman.
Soalan lazim tentang tuntutan nafkah
Berapakah jumlah nafkah anak yang boleh dituntut?
Tiada kadar tetap. Mahkamah menilai berdasarkan kemampuan bapa dan keperluan sebenar anak (s.61 Akta 303). Senarai perbelanjaan yang disokong bukti membantu mahkamah menetapkan jumlah yang munasabah.
Bolehkah saya menuntut nafkah walaupun masih berkahwin?
Boleh. Mahkamah boleh memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak walaupun perkahwinan masih berterusan.
Suami kata dia tidak mampu. Adakah dia masih perlu membayar?
Kewajipan nafkah kekal, tetapi jumlahnya dinilai mengikut kemampuan sebenar suami. Mahkamah akan melihat bukti pendapatan dan perbelanjaannya.
Suami menuduh saya nusyuz. Adakah saya hilang hak nafkah?
Tidak secara automatik. Nusyuz hanya berkesan selepas disahkan oleh mahkamah (s.59(2)), dan berakhir sebaik isteri kembali taat. Mahkamah juga pernah memutuskan bahawa isteri yang keluar rumah kerana tidak diberi nafkah tidak dianggap nusyuz.
Bolehkah saya menuntut nafkah anak bagi tahun-tahun yang lepas?
Jika sudah ada perintah, tunggakannya boleh dituntut sebagai hutang. Jika belum ada perintah, mahkamah pernah membenarkan tuntutan bagi tempoh lalu, tetapi ia bergantung pada bukti. Hak nafkah ialah hak anak, jadi persetujuan ibu untuk tidak menuntut tidak semestinya menggugurkannya. Lebih selamat, mohon perintah nafkah anak secepat mungkin.
Bekas suami tidak membayar nafkah anak selepas bercerai. Apa boleh dibuat?
Jika belum ada perintah, failkan tuntutan nafkah anak. Jika perintah sudah ada tetapi tidak dipatuhi, tindakan penguatkuasaan boleh diambil, termasuk tuntutan tunggakan dan hukuman penjara bagi keingkaran yang disengajakan.
Sampai umur berapa bapa wajib memberi nafkah anak?
Perintah nafkah anak lazimnya sehingga anak berumur 18 tahun, dan boleh dilanjutkan untuk pendidikan tinggi. Bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat, perintah tidak tamat pada umur 18 tahun (s.79).
Berapa lama proses tuntutan nafkah?
Secara kasar, 1 hingga 2 bulan jika persetujuan dicapai di peringkat sulh, dan 6 hingga 12 bulan jika kes dibicarakan. Nafkah interim boleh dipohon sementara menunggu keputusan.
Adakah saya perlu hadir ke mahkamah?
Ya, pada peringkat tertentu, contohnya majlis sulh dan perbicaraan. Sebutan tertentu boleh diuruskan oleh peguam.
Kes saya di Selangor. Adakah firma boleh membantu?
Boleh. Peguam firma bertauliah beramal di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Konsultasi boleh dibuat secara bersemuka atau dalam talian.
Mulakan dengan penilaian awal tuntutan anda
Kongsikan ringkasan situasi anda secara sulit. Kami akan terangkan tuntutan yang boleh dibuat, bukti yang diperlukan dan langkah seterusnya.
Bacaan berkaitan
Maklumat di halaman ini ialah maklumat undang-undang umum dan bukan nasihat guaman. Kedudukan undang-undang dan prosedur mungkin berbeza mengikut negeri dan fakta kes. Jumlah nafkah ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta setiap kes, dan tiada keputusan yang boleh dijamin. Hubungan peguam dan klien hanya wujud selepas lantikan rasmi.