Khidmat Guaman Syarie

Peguam Tuntutan Nafkah Anak & Isteri

Nafkah bukan ihsan. Ia kewajipan suami dan bapa di sisi Hukum Syarak dan undang-undang. Jika nafkah tidak diberi, tidak mencukupi atau sering terputus, anda boleh memohon Mahkamah Syariah memerintahkannya.

  • Peguam Syarie bertauliah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
  • Konsultasi sulit, bersemuka atau dalam talian
Mohammad Akmal Aqil bin Sazali, Peguam Syarie
Mohammad Akmal Aqil bin SazaliPeguam Syarie, Akmal Aqil & Associates

Adakah ini situasi anda?

Ramai isteri dan ibu menanggung perbelanjaan keluarga seorang diri kerana tidak tahu hak mereka boleh dituntut di mahkamah. Tuntutan nafkah mungkin sesuai jika:

  • Suami tidak memberi nafkah kepada anda, walaupun anda masih isterinya.
  • Suami memberi nafkah sedikit dan tidak mencukupi untuk keperluan asas.
  • Nafkah diberi tidak menentu, kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada.
  • Suami meninggalkan rumah dan anak-anak berada dalam jagaan anda.
  • Selepas bercerai, bekas suami tidak menanggung nafkah anak-anak.
  • Suami menjadikan tuduhan nusyuz sebagai alasan untuk berhenti memberi nafkah.
  • Anda menanggung yuran sekolah, rawatan dan keperluan anak tanpa sumbangan bapanya.

Setiap kes bergantung pada fakta dan bukti. Penilaian awal membantu anda mengetahui tuntutan yang boleh dibuat dan jumlah yang munasabah.

Asas undang-undang

Hak nafkah di sisi undang-undang

Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memberi Mahkamah Syariah kuasa memerintahkan nafkah bagi isteri dan anak.

PerkaraKedudukan undang-undang
Nafkah isteris.59(1)Mahkamah boleh, tertakluk kepada Hukum Syarak, memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya.
Nusyuzs.59(2)–(3)Isteri tidak berhak nafkah jika nusyuz, tetapi hanya tertakluk kepada pengesahan mahkamah. Nusyuz berakhir sebaik isteri bertaubat dan kembali taat.
Kewajipan menanggung anaks.72(1)Bapa wajib menanggung anak-anaknya, sama ada anak itu dalam jagaannya atau jagaan orang lain: tempat tinggal, pakaian, makanan, rawatan dan pendidikan, mengikut kemampuan dan kedudukannya.
Perintah nafkah anaks.73(1)Mahkamah boleh memerintahkan bapa membayar nafkah anak, antaranya jika dia enggan atau cuai menyediakan nafkah yang munasabah, atau meninggalkan isteri dan anak dalam jagaan isteri.
Bayaran kepada penjagas.73(3)Nafkah anak boleh diarahkan dibayar kepada orang yang menjaga anak itu.
Nafkah interims.70Mahkamah boleh memerintahkan nafkah sementara yang berkuat kuasa serta-merta sementara tuntutan dibicarakan.
Tunggakans.69 dan s.77Tunggakan nafkah di bawah perintah mahkamah boleh dituntut sebagai hutang, termasuk daripada harta pusaka pihak yang ingkar.
Tempoh nafkah anaks.79Sehingga anak berumur 18 tahun. Mahkamah boleh melanjutkannya untuk pendidikan tinggi atau latihan. Bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat, perintah tidak tamat pada umur 18 tahun.

Negeri lain

Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai peruntukan yang sama dalam enakmen undang-undang keluarga Islam masing-masing. Hanya nombor seksyen berbeza, lazimnya satu angka selepas Akta 303. Contohnya, kewajipan bapa menanggung anak ialah seksyen 73 dan tempoh nafkah anak ialah seksyen 80.

Jumlah nafkah

Bagaimana mahkamah menentukan jumlah nafkah

Tiada kadar tetap atau formula dalam undang-undang. Seksyen 61 Akta 303 menghendaki mahkamah menilai jumlah nafkah terutamanya berdasarkan kemampuan dan keperluan pihak-pihak, dengan mengambil kira nisbah nafkah itu kepada pendapatan orang yang diperintahkan membayar.

Kemampuan suami atau bapa

  • Gaji, elaun dan pendapatan sampingan
  • Hasil perniagaan atau aset lain
  • Tanggungan lain, contohnya isteri atau anak lain
  • Taraf hidup keluarga sebelum ini

Keperluan isteri dan anak

  • Makanan dan keperluan harian
  • Tempat tinggal dan utiliti
  • Pakaian
  • Persekolahan, yuran dan pengangkutan
  • Rawatan dan kesihatan
Pendapatan suami tidak diketahui? Tuntutan yang disokong dengan senarai perbelanjaan sebenar dan bukti pendapatan suami lebih mudah dinilai. Jika pendapatan suami tidak diketahui, peguam boleh memohon mahkamah memerintahkan penzahiran dokumen, contohnya slip gaji dan penyata bank, mengikut prosedur tatacara mal Mahkamah Syariah.
Nafkah tertunggak

Nafkah tertunggak: jangan tunggu terlalu lama

Kedudukan nafkah yang tidak dibayar pada masa lalu berbeza antara nafkah isteri dan nafkah anak.

Nafkah isteri

Jika belum ada perintah
Menurut Mazhab Syafie, nafkah isteri tidak gugur dengan berlalunya masa. Ia menjadi hutang suami yang boleh dituntut.
Jika sudah ada perintah
Tunggakan boleh dituntut sebagai hutang (s.69).

Nafkah anak

Jika belum ada perintah
Menurut Mazhab Syafie, nafkah anak gugur dengan berlalunya masa, kecuali ditetapkan oleh hakim atau hakim mengizinkan ia dibiayai secara berhutang. Dalam amalan, mahkamah pernah membenarkan tuntutan bagi tempoh lalu, tetapi ia bergantung pada bukti.
Jika sudah ada perintah
Tunggakan boleh dituntut sebagai hutang (s.77 dibaca bersama s.69).
Maksudnya bagi anda: Jika bapa tidak menanggung anak, mohon perintah nafkah anak secepat mungkin, supaya setiap bulan yang tidak dibayar menjadi tunggakan yang jelas dan mudah dituntut.
Prosedur

Proses tuntutan nafkah

Susunan di bawah ialah gambaran umum. Perjalanan setiap kes bergantung pada fakta dan jadual mahkamah.

  1. Konsultasi dan penilaian awalPeguam menilai hak anda dan anak-anak, serta anggaran jumlah yang munasabah berdasarkan perbelanjaan dan pendapatan suami.
  2. Senarai perbelanjaan dan buktiPerbelanjaan bulanan isteri dan setiap anak disusun, bersama bukti pendapatan suami yang ada.
  3. Penyediaan dan pemfailanSaman dan penyata tuntutan disediakan, kemudian difailkan di Mahkamah Rendah Syariah. Jika tuntutan nafkah digabungkan dengan tuntutan lain yang didengar di Mahkamah Tinggi Syariah, contohnya hak jagaan anak, ia boleh difailkan bersama di sana.
  4. Nafkah interimSementara menunggu keputusan, peguam lazimnya memohon perintah nafkah interim, terutamanya bagi anak-anak, supaya nafkah sementara dibayar sepanjang kes berjalan (s.70).
  5. SulhKes dirujuk ke majlis sulh untuk mencapai persetujuan tentang jumlah dan cara bayaran nafkah. Persetujuan yang dicapai direkodkan sebagai perintah mahkamah.
  6. PerbicaraanJika tiada persetujuan, kes dibicarakan. Anda mengemukakan bukti keperluan; suami boleh mengemukakan bukti kemampuannya.
  7. Perintah nafkahMahkamah menetapkan jumlah, tarikh dan cara bayaran, termasuk potongan gaji, dan boleh mengarahkan bayaran terus kepada penjaga anak.
Tempoh

Anggaran tempoh

Keadaan kesAnggaran kasar
Persetujuan dicapai di peringkat sulh1 hingga 2 bulan
Kes dibicarakan6 hingga 12 bulan
Nafkah interimBeberapa minggu selepas permohonan

Ini anggaran sahaja. Tempoh sebenar bergantung pada jadual mahkamah dan kehadiran pihak-pihak. Peguam akan memberi anggaran yang lebih tepat selepas menilai kes anda.

Persediaan

Dokumen dan bukti yang perlu disediakan

Tuntutan nafkah bergantung pada dua perkara: keperluan anda dan anak-anak, dan kemampuan suami. Sediakan apa yang ada; peguam akan membantu melengkapkannya.

Dokumen asas

  • Kad pengenalan anda
  • Sijil nikah, atau sijil cerai jika sudah bercerai
  • Sijil kelahiran setiap anak
  • Alamat dan tempat kerja suami yang diketahui

Bukti kemampuan suami (jika ada)

  • Slip gaji, surat tawaran kerja atau maklumat majikan
  • Maklumat perniagaan, kenderaan atau aset
  • Gaya hidup yang menunjukkan kemampuan, contohnya kenderaan atau perbelanjaan besar

Bukti keperluan

Perbelanjaan harianResit barangan dapur, bil utiliti, sewa atau pinjaman rumah
PersekolahanYuran sekolah atau tadika, buku, pengangkutan, kelas tambahan
KesihatanResit klinik atau hospital, ubat, keperluan khas anak
Nafkah yang tidak diberiPenyata bank, mesej meminta nafkah, rekod bayaran yang terputus

Jika anda tidak tahu pendapatan sebenar suami, nyatakan apa yang anda tahu. Peguam akan menasihati cara mendapatkan maklumat selebihnya.

Selepas perintah

Selepas perintah nafkah dikeluarkan

KeadaanTindakan yang boleh diambil
Keperluan anak bertambah, atau pendapatan suami berubahPermohonan untuk mengubah jumlah nafkah boleh dibuat jika berlaku perubahan material dalam keadaan (s.66 bagi isteri, s.75 bagi anak). Permohonan ini dimulakan dengan saman dan penyata tuntutan.
Suami tidak membayarJumlah tunggakan dimuktamadkan dahulu melalui tuntutan tunggakan (s.69 bagi isteri, s.77 bagi anak). Selepas itu, saman penghutang penghakiman boleh difailkan supaya mahkamah memeriksa kemampuan suami dan memerintahkan bayaran, termasuk secara ansuran. Pihak yang sengaja ingkar boleh dipenjarakan (s.132).
Anak tinggal bersama bapa tanpa perintah baharuPerintah nafkah kekal berkuat kuasa sehingga diubah atau dibatalkan oleh mahkamah. Bapa tidak boleh menukar cara bayaran atau berhenti membayar dengan sendirinya.
Anak mencapai umur 18 tahunPerintah boleh dibatalkan jika anak sudah dewasa dan berdikari, tetapi boleh dilanjutkan untuk pendidikan tinggi atau latihan. Perintah bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat tidak tamat pada umur 18 tahun (s.79).
Bercerai selepas perintahHak isteri kepada nafkah di bawah perintah tamat apabila tempoh iddah tamat (s.65). Nafkah anak berterusan.

Perintah nafkah hanya berkesan jika dipatuhi. Simpan rekod setiap bayaran yang diterima, termasuk tarikh dan jumlah, supaya tunggakan mudah dibuktikan jika perlu.

Kes rujukan

Bagaimana Mahkamah Syariah memutuskan tuntutan nafkah

Keputusan mahkamah di bawah menunjukkan bagaimana hak nafkah dinilai dan dikuatkuasakan dalam amalan. Setiap kes bergantung pada faktanya sendiri; kes-kes ini tidak menjamin keputusan yang sama bagi kes lain.

Tuduhan nusyuz tidak semestinya menggugurkan hak nafkah

Siti Hasnah Jantan lwn. Saharum Shariff [2013] 1 CLJ (SYA) 169, Mahkamah Rendah Syariah Melaka Tengah (2011)

Fakta
Suami tidak memberi nafkah lebih tiga bulan dan memaki isteri dengan kata-kata kesat. Isteri keluar rumah.
Keputusan
Isteri yang keluar rumah kerana tidak diberi nafkah tidak dianggap nusyuz, lebih-lebih lagi tiada mahkamah pernah mensabitkannya nusyuz.
Maksudnya
Dakwaan nusyuz perlu dibuktikan di mahkamah. Ia tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk berhenti memberi nafkah.

Jumlah nafkah anak dinilai mengikut keperluan anak dan pendapatan bapa

Mohd Hassan Ghazali lwn. Siti Sharidza Mohd Sidque [2006] 1 CLJ (SYA) 20, Mahkamah Rendah Syariah Kelantan

Fakta
Ibu menuntut nafkah anak-anak daripada bapa yang tidak menanggung mereka.
Keputusan
Mahkamah menetapkan jumlah berdasarkan keperluan anak-anak dan pendapatan bapa, mengarahkan bayaran melalui potongan gaji, dan mengizinkan ibu berhutang bagi perbelanjaan anak. Perbicaraan tanpa kehadiran bapa yang telah disaman adalah sah.
Maksudnya
Bapa tidak boleh melengahkan kes dengan tidak hadir, dan bayaran boleh dipotong terus daripada gaji.

Nafkah anak bagi tempoh lalu boleh dituntut

Tijah lwn. Abdul Latif [1984] SHRU 24, Mahkamah Ulangbicara Melaka (1985)

Fakta
Ibu menuntut nafkah anak bagi tempoh bapa tidak menanggung mereka. Bapa mendakwa telah membayar melalui pihak ketiga.
Keputusan
Tunggakan nafkah anak selama 38 bulan dibenarkan kerana dakwaan bayaran itu tidak dibuktikan.
Maksudnya
Nafkah ialah hak anak. Bapa yang mendakwa sudah membayar perlu membuktikannya.

Keingkaran perintah nafkah boleh membawa hukuman penjara

Aminah A Rahman lwn. Faizul Ahmad [2016] SHRU 6, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu

Fakta
Bekas suami tidak membayar nafkah anak mengikut perintah mahkamah.
Keputusan
Tunggakan disahkan. Penghutang diperintah membayar, dan jika gagal, dipenjara 14 hari. Perubahan jagaan secara tidak rasmi tidak membebaskannya daripada perintah.
Maksudnya
Perintah mahkamah mesti dipatuhi sehingga diubah oleh mahkamah.
Khidmat kami

Bagaimana kami membantu

Peguam Syarie Akmal Aqil

Tuntutan nafkah yang kukuh bergantung pada angka yang munasabah dan bukti yang tersusun. Kami membantu anda menyediakan kedua-duanya dan menerangkan setiap peringkat dengan jelas.

  • Menilai tuntutan yang boleh dibuat: nafkah isteri, nafkah anak dan tunggakannya
  • Menyusun senarai perbelanjaan yang munasabah dan disokong bukti
  • Memohon nafkah interim jika keperluan mendesak
  • Mewakili anda di majlis sulh dan perbicaraan
  • Menasihati langkah seterusnya jika perintah tidak dipatuhi

Khidmat Penuh

Peguam menguruskan kes dari penilaian awal hingga perintah, termasuk mewakili anda di mahkamah.

Penyediaan Pliding

Anda menguruskan kes sendiri tetapi perlukan saman, penyata tuntutan dan afidavit disediakan dengan betul.

Penyediaan Hujahan

Anda hadir sendiri ke mahkamah tetapi perlukan hujahan bertulis yang tersusun.

Skop kerja dan anggaran kos diterangkan semasa konsultasi awal, sebelum anda membuat keputusan untuk melantik peguam. Lihat juga profil dan tauliah peguam serta semua khidmat guaman.

Soalan lazim

Soalan lazim tentang tuntutan nafkah

Berapakah jumlah nafkah anak yang boleh dituntut?

Tiada kadar tetap. Mahkamah menilai berdasarkan kemampuan bapa dan keperluan sebenar anak (s.61 Akta 303). Senarai perbelanjaan yang disokong bukti membantu mahkamah menetapkan jumlah yang munasabah.

Bolehkah saya menuntut nafkah walaupun masih berkahwin?

Boleh. Mahkamah boleh memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri dan anak-anak walaupun perkahwinan masih berterusan.

Suami kata dia tidak mampu. Adakah dia masih perlu membayar?

Kewajipan nafkah kekal, tetapi jumlahnya dinilai mengikut kemampuan sebenar suami. Mahkamah akan melihat bukti pendapatan dan perbelanjaannya.

Suami menuduh saya nusyuz. Adakah saya hilang hak nafkah?

Tidak secara automatik. Nusyuz hanya berkesan selepas disahkan oleh mahkamah (s.59(2)), dan berakhir sebaik isteri kembali taat. Mahkamah juga pernah memutuskan bahawa isteri yang keluar rumah kerana tidak diberi nafkah tidak dianggap nusyuz.

Bolehkah saya menuntut nafkah anak bagi tahun-tahun yang lepas?

Jika sudah ada perintah, tunggakannya boleh dituntut sebagai hutang. Jika belum ada perintah, mahkamah pernah membenarkan tuntutan bagi tempoh lalu, tetapi ia bergantung pada bukti. Hak nafkah ialah hak anak, jadi persetujuan ibu untuk tidak menuntut tidak semestinya menggugurkannya. Lebih selamat, mohon perintah nafkah anak secepat mungkin.

Bekas suami tidak membayar nafkah anak selepas bercerai. Apa boleh dibuat?

Jika belum ada perintah, failkan tuntutan nafkah anak. Jika perintah sudah ada tetapi tidak dipatuhi, tindakan penguatkuasaan boleh diambil, termasuk tuntutan tunggakan dan hukuman penjara bagi keingkaran yang disengajakan.

Sampai umur berapa bapa wajib memberi nafkah anak?

Perintah nafkah anak lazimnya sehingga anak berumur 18 tahun, dan boleh dilanjutkan untuk pendidikan tinggi. Bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau anak yang cacat, perintah tidak tamat pada umur 18 tahun (s.79).

Berapa lama proses tuntutan nafkah?

Secara kasar, 1 hingga 2 bulan jika persetujuan dicapai di peringkat sulh, dan 6 hingga 12 bulan jika kes dibicarakan. Nafkah interim boleh dipohon sementara menunggu keputusan.

Adakah saya perlu hadir ke mahkamah?

Ya, pada peringkat tertentu, contohnya majlis sulh dan perbicaraan. Sebutan tertentu boleh diuruskan oleh peguam.

Kes saya di Selangor. Adakah firma boleh membantu?

Boleh. Peguam firma bertauliah beramal di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Konsultasi boleh dibuat secara bersemuka atau dalam talian.

Mulakan dengan penilaian awal tuntutan anda

Kongsikan ringkasan situasi anda secara sulit. Kami akan terangkan tuntutan yang boleh dibuat, bukti yang diperlukan dan langkah seterusnya.

Bacaan berkaitan

Maklumat di halaman ini ialah maklumat undang-undang umum dan bukan nasihat guaman. Kedudukan undang-undang dan prosedur mungkin berbeza mengikut negeri dan fakta kes. Jumlah nafkah ditentukan oleh mahkamah berdasarkan fakta setiap kes, dan tiada keputusan yang boleh dijamin. Hubungan peguam dan klien hanya wujud selepas lantikan rasmi.