Peguam Tuntutan Nafkah Isteri
Suami tidak memberi nafkah, atau anda sudah diceraikan tanpa nafkah iddah? Nafkah isteri ialah hak yang tidak gugur begitu sahaja. Nafkah yang tertunggak, nafkah sepanjang iddah dan nafkah sementara semasa kes berjalan boleh dituntut di Mahkamah Syariah. Kami bantu anda menilai jumlah yang munasabah dan mengemukakan tuntutan dengan bukti yang kemas.
- Peguam Syarie bertauliah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
- Konsultasi sulit, bersemuka atau dalam talian

Adakah ini situasi anda?
Ramai isteri menanggung sendiri perbelanjaan bertahun-tahun tanpa mengetahui nafkah itu masih boleh dituntut. Penilaian awal membantu jika:
Masih isteri
- Suami tidak memberi nafkah selama berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
- Suami memberi nafkah sedikit dan tidak menentu.
- Suami meninggalkan rumah dan tidak lagi menanggung anda.
- Suami menuduh anda nusyuz sebagai alasan untuk berhenti memberi nafkah.
- Anda memfailkan fasakh atau cerai dan perlukan nafkah sementara kes berjalan.
Sudah bercerai
- Nafkah sepanjang iddah tidak dibayar.
- Anda diminta keluar dari rumah kelamin sebelum iddah tamat.
- Nafkah semasa perkahwinan tidak pernah dibayar dan anda mahu menuntutnya selepas bercerai.
- Bekas suami meninggal dunia dan nafkah anda masih tertunggak.
Nafkah anak dan mutaah dituntut secara berasingan. Pautan ke halaman berkaitan disediakan di bahagian bawah.
Hak nafkah isteri di sisi undang-undang
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) memberi Mahkamah Syariah kuasa memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri dan bekas isteri.
| Perkara | Kedudukan undang-undang |
|---|---|
| Perintah nafkah isteriAkta 303 s.59(1) · negeri s.60 | Mahkamah boleh, tertakluk kepada Hukum Syarak, memerintahkan suami membayar nafkah kepada isteri atau bekas isterinya. |
| NusyuzAkta 303 s.59(2), (3) · negeri s.60 | Isteri yang nusyuz tidak berhak nafkah, tertakluk kepada pengesahan mahkamah. Nusyuz berakhir apabila isteri bertaubat dan kembali taat. |
| Penilaian jumlahAkta 303 s.61 · negeri s.62 | Jumlah dinilai terutamanya berdasarkan kemampuan dan keperluan pihak-pihak. |
| Nafkah selepas ceraiAkta 303 s.65 · negeri s.66 | Hak bekas isteri kepada nafkah tamat apabila iddah tamat atau jika dia nusyuz. |
| Tunggakan nafkahAkta 303 s.69 · negeri s.70 | Tunggakan boleh dituntut sebagai hutang, termasuk daripada harta pusaka suami. |
| Nafkah interimAkta 303 s.70 · negeri s.71 | Nafkah sementara berkuat kuasa serta-merta sehingga tuntutan diputuskan. |
| Hak tempat tinggalAkta 303 s.71 · negeri s.72 | Bekas isteri berhak tinggal di rumah kelamin selagi suami tidak menyediakan tempat tinggal lain yang sesuai. Hak ini tamat antaranya apabila iddah tamat. |
| Keingkaran perintahAkta 303 s.132 · negeri s.133 | Suami yang sengaja tidak membayar boleh dikenakan denda atau penjara bagi setiap bulan yang tidak dibayar. |
"Negeri" merujuk kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Negeri Sembilan 2003 dan Melaka 2002. Nombor seksyennya sama di ketiga-tiga negeri.
Rujukan: al-Hisni, Kifayat al-Akhyar, hlm. 430 dan 434 (Shamela, Shamela); al-'Imrani, al-Bayan, jil. 11, hlm. 226 (Shamela); Ibn Qasim al-Ghazzi, Fath al-Qarib, hlm. 255 (Shamela).
Tiga tuntutan nafkah isteri
Tiada kadar tetap. Mahkamah menilai kemampuan suami dan keperluan isteri dalam setiap kes.
Nafkah tertunggak
- Nafkah semasa perkahwinan yang tidak dibayar suami.
- Boleh dituntut semasa masih berkahwin atau selepas bercerai.
- Mahkamah menetapkan kadar bulanan yang munasabah bagi tempoh yang dituntut, dan menolak bayaran yang sudah dibuat.
- Suami yang mendakwa sudah membayar perlu membuktikannya.
Nafkah iddah
- Nafkah bekas isteri sepanjang tempoh iddah, termasuk tempat tinggal.
- Iddah: tiga kali suci jika masih haid, tiga bulan jika belum atau tidak lagi haid, atau sehingga bersalin jika hamil.
- Lazimnya kadar bulanan didarab dengan tempoh iddah.
- Gugur jika nusyuz disabitkan. Bagi talak bain, hanya tempat tinggal, kecuali isteri hamil.
Nafkah interim
- Nafkah sementara yang diperintahkan serta-merta sementara tuntutan atau prosiding cerai berjalan.
- Sesuai jika anda tiada sumber untuk keperluan asas dan kes dijangka mengambil masa.
- Jumlah interim boleh diselaraskan dengan perintah akhir, asalkan baki yang diterima cukup untuk keperluan asas (Akta 303 s.70(2)).
Proses tuntutan nafkah isteri
Susunan di bawah ialah gambaran umum. Perjalanan setiap kes bergantung pada fakta dan jadual mahkamah.
- Konsultasi dan semakan dokumenKami menilai tempoh nafkah tidak dibayar, keperluan anda dan maklumat kewangan suami.
- Pemfailan tuntutanSaman dan pernyataan tuntutan difailkan. Permohonan nafkah interim boleh difailkan serentak.
- SulhKedua-dua pihak berunding di hadapan Pegawai Sulh. Persetujuan direkodkan sebagai perintah mahkamah.
- Penzahiran dokumenJika pendapatan suami tidak diketahui, permohonan penzahiran dokumen atau sepina kepada majikan boleh dibuat.
- PerbicaraanJika sulh gagal, bukti tempoh tunggakan, keperluan isteri dan kemampuan suami dikemukakan.
- Perintah dan penguatkuasaanJika tidak dibayar, perintah boleh dikuatkuasakan, termasuk melalui potongan gaji.
Anggaran tempoh
| Peringkat | Anggaran kasar |
|---|---|
| Perintah nafkah interim | Beberapa minggu hingga 2 bulan |
| Selesai melalui sulh | 1 hingga 3 bulan |
| Perbicaraan penuh | 6 hingga 12 bulan, atau lebih jika dipertikaikan |
Tempoh di atas ialah anggaran sahaja dan berbeza bagi setiap kes, bergantung kepada kehadiran pihak-pihak, keperluan penzahiran dokumen dan jadual mahkamah.
Dokumen dan bukti
- Sijil nikah, dan perintah atau sijil cerai jika sudah bercerai
- Catatan tempoh nafkah tidak dibayar, serta penyata bank yang menunjukkan tiada bayaran
- Senarai perbelanjaan bulanan dan resit: makanan, sewa, utiliti, rawatan
- Bukti pendapatan dan aset suami: slip gaji, penyata bank, dokumen perniagaan
- Mesej atau surat berkaitan nafkah, termasuk janji bayaran
- Saksi yang mengetahui keadaan rumah tangga
Bagaimana Mahkamah Syariah memutuskan tuntutan nafkah isteri
Keputusan mahkamah di bawah menunjukkan bagaimana tuntutan nafkah isteri dinilai dalam amalan. Setiap kes bergantung pada fakta dan keterangannya sendiri; kes-kes ini tidak menjamin keputusan atau jumlah yang sama bagi kes lain.
Isteri bekerja tetap berhak nafkah; nafkah yang tidak dibayar menjadi hutang
Halim Azman Sulaiman lwn. Norizam Mohd Lazim [2004] 1 CLJ (SYA) 86, Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan
- Fakta
- Suami dan isteri sama-sama anggota tentera. Sepanjang tiga tahun tinggal bersama, suami hanya menyumbang sekitar RM100 sebulan dan isteri menanggung perbelanjaan rumah tangga. Selepas bercerai, isteri menuntut nafkah tertunggak, nafkah iddah dan sewa rumah semasa iddah. Suami berhujah isteri rela berbelanja sendiri.
- Keputusan
- Rayuan suami ditolak. Nafkah tertunggak RM150 sebulan bagi 36 bulan dikekalkan. Nafkah iddah RM954 dan sewa rumah semasa iddah RM750 (RM250 x 3 bulan) turut diperintahkan di mahkamah bicara.
- Maksudnya
- Isteri yang bekerja dengan izin suami tidak hilang hak nafkah. Nafkah yang tidak ditunaikan menjadi hutang, kecuali dilepaskan oleh isteri. Namun jika sumbangan suami sudah adil dan munasabah, tuntutan tunggakan tidak timbul.
Beban membuktikan nafkah sudah diberi terletak pada suami, tetapi tuntutan mesti munasabah
Juliah Abdullah lwn. Omar Charles Abdullah [2011] 1 CLJ (SYA) 307, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
- Fakta
- Lima tahun selepas bercerai, isteri, seorang jurutera berpendapatan tinggi, menuntut tunggakan nafkah bagi 186 bulan perkahwinan berjumlah RM797,700, termasuk pakaian RM700 sebulan dan sewa rumah RM2,000 sebulan.
- Keputusan
- Beban membuktikan nafkah telah diberi terletak pada suami. Suami membuktikan dia memberi nafkah selepas tahun 1990 melalui penyata kad kredit dan tunggul cek, yang tidak dicabar isteri. Tuntutan pakaian dan sewa rumah ditolak sebagai tidak munasabah. Suami diperintah membayar RM6,000 bagi enam bulan awal perkahwinan ketika dia tidak bekerja.
- Maksudnya
- Tuntutan bagi tempoh bertahun-tahun boleh dibuat, tetapi jumlah mesti munasabah dan bukti suami perlu dijawab. Nafkah ialah makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut kemampuan suami, bukan semestinya wang bulanan.
Perkahwinan yang dipertikaikan tidak menghalang tuntutan nafkah iddah dibicarakan
Datin Fauziah Haron lwn. Dato' Kadar Shah Tun Sulaiman [2010] 1 CLJ (SYA) 47, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur
- Fakta
- Pasangan bernikah di Indonesia pada 1980 dan hidup bersama 27 tahun dengan tiga anak. Mahkamah Rendah Syariah kemudian memutuskan pernikahan itu fasid. Suami membantah tuntutan nafkah iddah, mutaah dan harta sepencarian dengan alasan isteri bukan isteri yang sah.
- Keputusan
- Bantahan awal suami ditolak. Isteri dibenarkan meneruskan tuntutan, dan mahkamah di tempat isteri bermastautin berbidang kuasa mendengarnya.
- Maksudnya
- Isteri yang telah lama hidup sebagai suami isteri tidak boleh dinafikan peluang menuntut haknya hanya kerana status pernikahan dipertikaikan.
Isteri hamil berhak nafkah iddah walaupun talak tiga
Mohamad Md Ali lwn. Roslina Mohd Yusof [2004] 1 CLJ (SYA) 116, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan
- Fakta
- Mahkamah bicara mensabitkan talak tiga ketika isteri hamil, tetapi terlepas memerintahkan nafkah iddah, lalu memohon kesilapan itu dibetulkan.
- Keputusan
- Di peringkat rayuan, talak didapati tidak jatuh langsung. Namun mahkamah rayuan menyatakan permohonan membetulkan perintah nafkah iddah itu selaras dengan Hukum Syarak.
- Maksudnya
- Isteri yang diceraikan ketika hamil berhak nafkah iddah sehingga bersalin, walaupun talaknya talak bain.
Bagaimana kami membantu

Tuntutan nafkah isteri berjaya apabila tempoh, keperluan dan kemampuan suami dibuktikan dengan jelas. Kami membantu anda menyusun tuntutan yang munasabah dan menyokongnya dengan bukti.
- Menilai tempoh tunggakan dan kadar bulanan yang munasabah
- Memfailkan permohonan nafkah interim jika anda perlukan bantuan segera
- Mengumpul bukti pendapatan suami, termasuk melalui penzahiran dokumen atau sepina kepada majikan
- Menjawab tuduhan nusyuz
- Mewakili anda dalam sulh dan perbicaraan, serta menguatkuasakan perintah jika tidak dipatuhi
Khidmat Penuh
Peguam menguruskan kes dari penilaian awal hingga perintah, termasuk mewakili anda di mahkamah.
Penyediaan Pliding
Anda menguruskan kes sendiri tetapi perlukan saman dan pernyataan tuntutan disediakan dengan betul.
Penyediaan Hujahan
Anda hadir sendiri ke mahkamah tetapi perlukan hujahan bertulis yang tersusun.
Skop kerja dan anggaran kos diterangkan semasa konsultasi awal, sebelum anda membuat keputusan untuk melantik peguam. Lihat juga profil dan tauliah peguam serta semua khidmat guaman.
Soalan lazim tentang tuntutan nafkah isteri
Suami tidak beri nafkah selama bertahun-tahun. Bolehkah saya menuntut semuanya?
Boleh. Menurut Mazhab Syafie, nafkah isteri tidak gugur dengan berlalunya masa dan menjadi hutang suami. Anda perlu membuktikan tempoh nafkah tidak dibayar, dan mahkamah menilai kadar yang munasabah bagi tempoh itu.
Saya sudah bercerai. Masih bolehkah saya menuntut nafkah semasa perkahwinan?
Boleh. Nafkah yang tertunggak semasa perkahwinan tetap menjadi hutang bekas suami dan boleh dituntut selepas perceraian.
Saya bekerja dan berpendapatan sendiri. Adakah saya masih berhak nafkah?
Ya. Isteri yang bekerja dengan izin suami tidak hilang hak nafkah. Namun jika suami sudah menyumbang secara adil kepada perbelanjaan rumah tangga mengikut kemampuannya, tuntutan tunggakan mungkin tidak berjaya.
Berapa lama tempoh iddah dan berapa nafkah iddah?
Tiga kali suci bagi isteri yang masih haid, tiga bulan bagi yang belum atau tidak lagi haid, atau sehingga bersalin jika hamil. Kadarnya bergantung kepada kemampuan bekas suami dan keperluan munasabah anda.
Saya diceraikan dengan talak tiga. Adakah saya berhak nafkah iddah?
Menurut Mazhab Syafie, isteri dalam iddah talak bain seperti talak tiga berhak tempat tinggal sepanjang iddah. Nafkah iddah hanya wajib jika isteri hamil. Setiap kes bergantung kepada faktanya.
Apa itu nafkah interim dan bila saya boleh memohonnya?
Nafkah interim ialah nafkah sementara yang diperintahkan serta-merta sementara kes anda berjalan. Ia sesuai jika anda tiada sumber untuk keperluan asas dan kes dijangka mengambil masa.
Suami menuduh saya nusyuz. Adakah saya hilang hak nafkah?
Nusyuz perlu disahkan oleh mahkamah. Tuduhan sahaja tidak menggugurkan hak nafkah. Jika nusyuz disabitkan, nafkah gugur bagi tempoh itu, dan hak kembali apabila isteri kembali taat.
Suami kata dia tidak mampu. Adakah dia masih perlu membayar?
Ya. Jumlah disesuaikan dengan kemampuannya, tetapi kewajipan memberi nafkah tidak hilang.
Bolehkah saya diminta keluar dari rumah semasa iddah?
Undang-undang memberi bekas isteri hak tinggal di rumah kelamin selagi suami tidak menyediakan tempat tinggal lain yang sesuai. Hak ini tamat antaranya apabila iddah tamat.
Bekas suami sudah meninggal dunia. Bolehkah saya menuntut nafkah yang tertunggak?
Boleh. Tunggakan nafkah ialah hutang yang boleh dituntut daripada harta pusakanya.
Suami tidak bayar walaupun sudah ada perintah. Apa boleh dibuat?
Perintah boleh dikuatkuasakan melalui mahkamah, termasuk potongan gaji. Keingkaran yang disengajakan boleh dikenakan denda atau penjara.
Kes saya di Selangor, Negeri Sembilan atau Melaka. Adakah firma boleh membantu?
Boleh. Peguam firma bertauliah beramal di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Konsultasi boleh dibuat secara bersemuka atau dalam talian.
Jangan biarkan nafkah anda terus tertunggak
Kongsikan situasi anda secara sulit. Kami akan terangkan tuntutan yang boleh dibuat, jumlah yang munasabah dan bukti yang diperlukan.
Khidmat berkaitan
Maklumat di halaman ini ialah maklumat undang-undang umum dan bukan nasihat guaman. Setiap tuntutan dinilai berdasarkan fakta dan bukti, dan tiada keputusan mahkamah yang boleh dijamin. Hubungan peguam dan klien hanya wujud selepas lantikan rasmi.