Akmal Aqil & Associates · Peguam Syarie

Soalan Lazim Peguam Syarie

55 soalan yang paling kerap ditanya tentang kos, konsultasi, perceraian, nafkah, hak jagaan anak dan harta di Mahkamah Syariah, dijawab dengan ringkas dan terus terang.

Mohammad Akmal Aqil bin Sazali, Peguam Syarie
Mohammad Akmal Aqil bin SazaliPeguam Syarie, Akmal Aqil & Associates
Konsultasi

Konsultasi dan cara bermula

Perkara yang paling kerap ditanya sebelum menghubungi peguam.

Bagaimana cara mula mendapatkan khidmat Peguam Syarie?

Hubungi kami melalui WhatsApp atau telefon dan nyatakan secara ringkas masalah anda serta negeri tempat kes akan difailkan. Kami akan menetapkan tarikh konsultasi, sama ada dalam talian atau bersemuka di lokasi yang dipersetujui bersama. Anda tidak perlu menyediakan semua dokumen sebelum menghubungi kami.

Adakah konsultasi pertama percuma?

Konsultasi lazimnya berbayar kerana ia melibatkan semakan fakta dan penerangan pilihan undang-undang bagi kes anda. Kadar dan skop sesi dimaklumkan terlebih dahulu sebelum anda bersetuju.

Bolehkah konsultasi dibuat dalam talian?

Boleh. Konsultasi boleh dibuat melalui Google Meet, Zoom atau panggilan WhatsApp. Pertemuan bersemuka diatur melalui temu janji di lokasi yang dipersetujui bersama.

Apakah dokumen yang perlu disediakan sebelum berjumpa peguam?

Sediakan kad pengenalan, surat perakuan nikah, surat perakuan cerai jika ada, dan sijil kelahiran anak. Bagi tuntutan nafkah atau harta, sediakan juga slip gaji, penyata bank, geran atau perjanjian jual beli, dan senarai perbelanjaan. Tangkapan layar mesej yang berkaitan juga berguna. Jika dokumen belum lengkap, peguam akan memberikan senarai semak.

Di negeri mana firma boleh mewakili saya?

Firma mewakili anak guam di Mahkamah Syariah Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Negeri Sembilan dan Melaka, iaitu negeri-negeri yang Peguam Syarie firma ditauliahkan. Bagi kes di negeri lain, kami boleh memberikan nasihat awal tentang pilihan anda.

Adakah maklumat yang saya kongsikan dirahsiakan?

Ya. Maklumat yang anda kongsikan semasa konsultasi dirahsiakan, sama ada anda melantik firma atau tidak, tertakluk kepada kehendak undang-undang.

Apa beza Peguam Syarie dengan peguam sivil?

Peguam Syarie diterima masuk oleh Majlis Agama Islam negeri untuk mewakili pihak-pihak di Mahkamah Syariah, yang antaranya mendengar kes keluarga Islam dan pusaka. Peguam sivil beramal di mahkamah sivil. Tauliah Peguam Syarie diberikan mengikut negeri, jadi pastikan peguam anda ditauliahkan di negeri tempat kes difailkan.

Perlukah saya sudah nekad untuk bercerai sebelum berjumpa peguam?

Tidak perlu. Ramai yang berjumpa peguam untuk memahami hak dan pilihan mereka terlebih dahulu. Konsultasi membantu anda membuat keputusan dengan maklumat yang cukup, termasuk kesannya kepada nafkah, anak dan harta.

Bolehkah saya membawa ahli keluarga semasa konsultasi?

Boleh, jika anda selesa. Perbincangan tetap dirahsiakan. Peguam mungkin meminta untuk bercakap dengan anda seorang bagi bahagian tertentu, kerana arahan kes mesti datang daripada anda sendiri.

Bolehkah saya menghubungi firma di luar waktu operasi?

Mesej WhatsApp boleh dihantar pada bila-bila masa dan akan dijawab pada waktu operasi, iaitu Isnin hingga Jumaat, 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Temu janji pada hujung minggu atau cuti umum boleh diatur lebih awal.

Kos

Kos dan bayaran

Kos diterangkan sebelum anda membuat sebarang keputusan.

Mohammad Akmal Aqil, Peguam Syarie
Berapakah kos melantik Peguam Syarie?

Kos bergantung kepada jenis dan kerumitan kes, bilangan sebutan dan perbicaraan, serta keperluan dokumen dan saksi. Kami memberikan sebut harga bertulis yang terperinci selepas semakan ringkas kes anda. Fi pemfailan mahkamah dan kos lain dinyatakan secara berasingan.

Bolehkah yuran guaman dibayar secara ansuran?

Boleh. Yuran boleh dibayar secara berperingkat mengikut fasa kes, seperti yang dipersetujui dalam surat lantikan.

Adakah pilihan yang lebih menjimatkan daripada perwakilan penuh?

Ada. Selain Khidmat Penuh, firma menawarkan Penyediaan Pliding dan Penyediaan Hujahan bagi mereka yang mahu hadir sendiri ke mahkamah tetapi memerlukan dokumen yang disediakan dengan betul. Bagi kes yang melibatkan perbicaraan, rayuan atau semakan, mahkamah menggalakkan pihak-pihak diwakili Peguam Syarie, jadi firma akan menasihati sama ada pilihan ini sesuai dengan kes anda. Lihat pakej khidmat guaman.

Rujukan: Arahan Amalan No. 10 Tahun 2023

Apakah yang termasuk dalam sebut harga?

Sebut harga menyatakan skop kerja mengikut fasa, perkara yang termasuk dan tidak termasuk (contohnya fi pemfailan mahkamah, kos penyampaian saman dan salinan dokumen), serta cara bayaran. Tanya peguam jika ada butiran yang kurang jelas sebelum anda bersetuju.

Adakah kos akan bertambah jika kes berlarutan?

Yuran mengikut skop dan fasa yang dipersetujui. Kerja di luar skop asal, seperti permohonan tambahan, penguatkuasaan perintah atau rayuan, dibincangkan dan dipersetujui terlebih dahulu sebelum dilaksanakan.

Bolehkah mahkamah memerintahkan pihak lawan membayar kos guaman saya?

Mahkamah mempunyai budi bicara untuk memerintahkan kos, tetapi dalam kebanyakan kes kekeluargaan setiap pihak menanggung kos guaman masing-masing. Jangan bergantung kepada perintah kos ketika merancang bajet anda.

Lantikan

Lantikan peguam dan perjalanan kes

Apa yang berlaku selepas anda melantik peguam.

Selepas melantik peguam, apa yang firma uruskan?

Firma menyemak dokumen, menyediakan pliding dan kertas kausa, memfailkan kes, menguruskan tarikh mahkamah, mewakili anda dalam sebutan dan perbicaraan, dan menasihati langkah seterusnya selepas keputusan, termasuk penguatkuasaan atau rayuan. Bagi kes yang dirujuk ke Majlis Sulh, anda hadir sendiri di peringkat itu.

Bagaimana cara membuat wakalah peguam?

Anda menandatangani surat lantikan dengan firma serta wakalah dalam borang yang ditetapkan, yang kemudiannya difailkan di mahkamah. Mengikut undang-undang, pelantikan itu dilafazkan oleh anda dan diterima oleh peguam di hadapan Hakim atau Pendaftar. Bagi kes mal, lafaz itu boleh juga diuruskan dengan Pendaftar mahkamah secara jarak jauh. Firma akan memaklumkan cara dan masa lafaz itu dibuat di negeri berkenaan. Bawa kad pengenalan dan dokumen asas kes. Firma menerangkan setiap perkara sebelum anda menandatangani.

Rujukan: Akta 585 s.34; Arahan Amalan No. 1 Tahun 2014; Arahan Amalan No. 12 Tahun 2021

Perlukah saya hadir sendiri ke mahkamah?

Ya, pada peringkat tertentu. Bagi kes yang dirujuk ke Majlis Sulh, anda hadir sendiri di hadapan Pegawai Sulh, dan Peguam Syarie tidak terlibat di peringkat itu. Sulh diadakan bagi tuntutan seperti nafkah, hadhanah, harta sepencarian, mutaah dan mas kahwin. Permohonan perceraian dan permohonan ex parte tidak dirujuk ke sulh. Kes yang difailkan bersama perjanjian penyelesaian yang telah dipersetujui pihak-pihak juga tidak perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa pendaftaran. Anda juga perlu hadir memberi keterangan semasa perbicaraan. Sebahagian sebutan kes boleh diuruskan oleh peguam.

Rujukan: Arahan Amalan No. 1 Tahun 2010; Arahan Amalan No. 5 Tahun 2024

Berapa lama kes di Mahkamah Syariah?

Bergantung kepada jenis kes, kerjasama pihak satu lagi, jadual mahkamah dan isu yang dipertikaikan. Kes persetujuan bersama boleh selesai dengan cepat, manakala kes yang dibicarakan sepenuhnya boleh mengambil masa beberapa bulan atau lebih. Anggaran bagi setiap jenis kes ada di halaman khidmat masing-masing, tetapi ia bukan jaminan.

Bolehkah saya menukar peguam atau menamatkan wakalah?

Boleh. Notis Penukaran Peguam Syarie (Borang MS 6) atau Notis Pelepasan Peguam Syarie (Borang MS 7) difailkan di mahkamah. Yuran bagi kerja yang telah dilaksanakan perlu diselesaikan mengikut surat lantikan.

Rujukan: Akta 585 s.36 dan s.37

Bolehkah saya menguruskan kes sendiri tanpa peguam?

Boleh. Undang-undang membenarkan anda mewakili diri sendiri. Bagi kes yang dipertikaikan, atau yang melibatkan anak dan harta, peguam membantu memastikan pliding, keterangan dan hujahan disediakan dengan betul. Mahkamah juga menggalakkan pihak-pihak diwakili Peguam Syarie dalam perbicaraan, rayuan dan semakan.

Rujukan: Arahan Amalan No. 10 Tahun 2023

Di mahkamah mana kes saya perlu difailkan?

Lazimnya di Mahkamah Syariah negeri dan daerah tempat anda atau pihak satu lagi bermastautin. Jenis dan nilai tuntutan menentukan sama ada kes didengar di Mahkamah Rendah atau Mahkamah Tinggi Syariah. Tuntutan harta sepencarian selepas perceraian difailkan di negeri tempat perintah perceraian atau pengesahan perceraian dikeluarkan.

Rujukan: Arahan Amalan No. 6 Tahun 2003

Bagaimana saya tahu perkembangan kes saya?

Peguam akan memaklumkan perkembangan selepas setiap tarikh mahkamah, termasuk apa yang berlaku, perintah yang dibuat dan langkah seterusnya.

Apa berlaku jika pihak satu lagi tidak hadir ke mahkamah?

Jika saman telah disampaikan dengan sempurna dan pihak itu tetap tidak hadir, mahkamah boleh mendengar dan memutuskan kes tanpa kehadirannya. Anda masih perlu membuktikan tuntutan, dan mahkamah akan memerintahkan anda mengangkat sumpah istizhar sebelum penghakiman dibuat. Bagi perceraian, talak tidak boleh dilafazkan tanpa suami, jadi laluan yang lazim ialah fasakh, taklik atau rujukan kepada hakam. Dalam kes pengesahan lafaz cerai, isteri perlu mengemukakan dua orang saksi lelaki atau melalui proses sumpah yang ditetapkan. Jika tempat suami tidak diketahui, dua orang saksi lelaki itu diperlukan.

Rujukan: Akta 585 s.121; Arahan Amalan No. 1 Tahun 2003; Arahan Amalan No. 6 Tahun 2021

Bolehkah keputusan Mahkamah Syariah dirayu?

Boleh. Notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan diumumkan. Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rendah Syariah dibuat ke Mahkamah Tinggi Syariah, dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah ke Mahkamah Rayuan Syariah. Perintah persetujuan, termasuk yang direkodkan selepas sulh, tidak boleh dirayu. Dapatkan nasihat segera jika anda tidak berpuas hati dengan keputusan.

Rujukan: Akta 585 s.139; Arahan Amalan No. 4 Tahun 2011

Perceraian

Perceraian

Laluan perceraian bergantung kepada siapa yang memohon dan apa alasannya.

Saya mahu memfailkan cerai. Dari mana perlu bermula?

Mulakan dengan konsultasi untuk mengenal pasti jenis permohonan yang sesuai. Dokumen kemudiannya disediakan dan difailkan di Mahkamah Syariah, dan mahkamah menetapkan tarikh sebutan. Jika ada anak, tuntutan nafkah anak lazimnya difailkan bersama. Jika anda dan pasangan bersetuju untuk bercerai, lihat Cerai Persetujuan Bersama.

Apa beza cerai talak, fasakh, taklik dan khuluk?

Talak ialah perceraian dengan lafaz suami, yang dilafazkan di hadapan mahkamah melalui permohonan cerai. Fasakh ialah pembubaran perkahwinan melalui perintah mahkamah atas alasan yang diiktiraf undang-undang. Cerai taklik dituntut apabila suami melanggar syarat taklik yang dilafazkannya selepas akad nikah. Khuluk (tebus talak) ialah perceraian dengan bayaran oleh isteri, apabila suami bersetuju menceraikan; jumlahnya dipersetujui atau ditaksir oleh mahkamah.

Rujukan: Akta 303 s.47, s.49, s.50 dan s.52

Suami melafazkan cerai di luar mahkamah. Apa yang perlu dibuat?

Suami wajib melaporkan lafaz itu kepada Mahkamah Syariah dalam tempoh tujuh hari. Isteri juga boleh memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai jika suami tidak berbuat demikian. Mahkamah akan menyiasat sama ada talak itu sah menurut Hukum Syarak dan berapa bilangannya, kemudian merekodkannya untuk didaftarkan. Melafazkan talak di luar mahkamah tanpa kebenaran ialah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM1,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, walaupun talak itu disahkan. Bertindak segera supaya status perkahwinan, iddah dan rujuk jelas.

Rujukan: Akta 303 s.55A dan s.124; Arahan Amalan No. 6 Tahun 2021

Suami tidak mahu menceraikan saya. Apa pilihan saya?

Isteri masih mempunyai beberapa laluan, bergantung kepada fakta. Fasakh dipohon atas alasan yang diiktiraf undang-undang, manakala cerai taklik dituntut apabila suami melanggar syarat taklik yang dilafazkannya selepas akad nikah. Isteri juga boleh memfailkan permohonan cerai. Jika suami tidak bersetuju, mahkamah merujuk pasangan kepada jawatankuasa pendamai dan, jika perdamaian gagal dan suami masih enggan melafazkan talak, kepada hakam. Khuluk (tebus talak) hanya terpakai apabila suami bersetuju menceraikan dengan bayaran yang dipersetujui. Setiap laluan mempunyai syarat dan bukti yang berbeza, jadi dapatkan penilaian sebelum memfailkan.

Rujukan: Akta 303 s.47, s.48, s.49, s.50 dan s.52

Adakah talak jatuh jika dilafazkan ketika marah atau melalui WhatsApp?

Mahkamah Syariah yang menentukannya selepas menyiasat sama ada rukun dan syarat talak dipenuhi. Lafaz yang jelas (sarih), seperti “aku ceraikan engkau”, jatuh talaknya tanpa bergantung kepada niat. Lafaz kiasan (kinayah) dan talak secara bertulis, termasuk melalui mesej, bergantung kepada niat suami. Menurut Mazhab Syafie, talak tetap jatuh walaupun dilafazkan ketika marah. Hanya hilang akal yang sebenar, yang perlu dibuktikan di mahkamah, menjejaskan kesahannya. Jangan membuat andaian sendiri. Lafaz itu perlu dilaporkan kepada mahkamah dalam tempoh tujuh hari melalui permohonan pengesahan lafaz cerai.

Rujukan: Akta 303 s.55A; Arahan Amalan No. 6 Tahun 2021

Bolehkah suami isteri rujuk selepas bercerai?

Boleh, jika perceraian itu talak raj'i, iaitu talak satu atau dua, dan isteri masih dalam iddah. Rujuk yang berlaku dengan persetujuan bersama mesti dilaporkan kepada Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk bagi kariah tempat tinggal dalam tempoh tujuh hari supaya ia didaftarkan dan surat perakuan rujuk dikeluarkan. Gagal melaporkannya, atau bersekedudukan semula tanpa rujuk yang sah, ialah satu kesalahan. Jika iddah telah tamat, atau perceraian itu melalui khuluk atau fasakh, pasangan perlu bernikah semula dengan akad yang baharu. Selepas talak tiga, pasangan tidak boleh rujuk atau bernikah semula melainkan bekas isteri telah berkahwin dengan lelaki lain secara sah, bercerai selepas persetubuhan dan tamat iddahnya.

Rujukan: Akta 303 s.51

Adakah kami perlu melalui kaunseling atau jawatankuasa pendamai?

Jika satu pihak tidak bersetuju dengan perceraian, atau mahkamah melihat masih ada kemungkinan berdamai, mahkamah akan melantik jawatankuasa pendamai yang dipengerusikan seorang Pegawai Agama bersama seorang wakil bagi setiap pihak. Jawatankuasa itu berusaha mendamaikan pasangan dalam tempoh enam bulan, atau lebih lama jika dibenarkan mahkamah. Rujukan ini dikecualikan dalam keadaan tertentu, contohnya apabila pihak satu lagi tidak dapat dikesan atau sedang dipenjara tiga tahun atau lebih. Jika perdamaian gagal dan suami enggan melafazkan talak, kes dirujuk kepada hakam. Peguam Syarie tidak boleh hadir atau bertindak di hadapan jawatankuasa pendamai atau hakam, tetapi boleh membantu anda membuat persediaan. Undang-undang tidak mewajibkan sesi kaunseling di pejabat agama sebelum permohonan cerai difailkan, tetapi permohonan perlu menyatakan langkah perdamaian yang telah diambil. Pasangan digalakkan mendapatkan khidmat kaunseling di pejabat agama Islam terlebih dahulu, dan amalannya mungkin berbeza mengikut negeri.

Rujukan: Akta 303 s.47 dan s.48; Arahan Amalan No. 1 Tahun 2006

Berapa lama proses perceraian?

Perceraian dengan persetujuan bersama lazimnya paling cepat, dan boleh didengar pada hari pendaftaran jika semua tatacara lengkap dan kedua-dua pihak hadir. Fasakh, taklik dan kes yang dirujuk kepada jawatankuasa pendamai atau hakam mengambil masa lebih lama kerana memerlukan bukti atau proses perdamaian. Anggaran bagi setiap jenis perceraian ada di halaman khidmat masing-masing.

Rujukan: Arahan Amalan No. 9 Tahun 2011

Nafkah, anak dan harta

Nafkah, anak dan harta

Tuntutan yang lazimnya mengiringi perceraian. Setiap satu difailkan dan dibuktikan secara berasingan.

Bolehkah saya menuntut nafkah isteri dan nafkah anak?

Boleh. Isteri boleh menuntut nafkah isteri yang tertunggak dan nafkah iddah. Hak nafkah iddah bergantung kepada jenis perceraian dan gugur jika isteri diputuskan nusyuz. Nafkah anak ialah tanggungjawab bapa dan boleh dituntut oleh ibu atau penjaga bagi pihak anak, sama ada semasa perkahwinan atau selepas perceraian.

Rujukan: Akta 303 s.59 dan s.65(1)

Bekas suami tidak mematuhi perintah nafkah. Apa tindakan yang ada?

Perintah mahkamah boleh dikuatkuasakan, antaranya melalui saman penghutang penghakiman, penyitaan dan penjualan harta alih, hiwalah, penahanan pendapatan atau prosiding komital. Mahkamah juga boleh menghukum penjara pihak yang sengaja ingkar membayar, sehingga sebulan bagi setiap bulan nafkah yang tertunggak.

Rujukan: Akta 303 s.132; Akta 585 s.159(1), s.160 dan s.161

Bagaimana mahkamah menentukan hak jagaan anak (hadhanah)?

Mengikut undang-undang, ibu ialah orang yang paling berhak menjaga anak kecil, selagi dia memenuhi syarat kelayakan menurut Hukum Syarak. Hak itu lazimnya berterusan sehingga anak lelaki berumur tujuh tahun dan anak perempuan sembilan tahun, dan mahkamah boleh melanjutkannya kepada sembilan dan sebelas tahun. Selepas itu jagaan berpindah kepada bapa, tetapi anak yang sudah mumaiyiz boleh memilih untuk tinggal dengan ibu atau bapa, melainkan mahkamah memerintahkan sebaliknya. Dalam semua keadaan, kebajikan anak ialah pertimbangan utama. Mahkamah menilai antaranya keselamatan, tempat tinggal, persekolahan, rutin anak dan kemampuan penjaga. Lihat Hak Hadhanah.

Rujukan: Akta 303 s.81, s.82, s.84 dan s.86

Jika saya tidak mendapat hak jagaan, bolehkah saya melawat anak?

Boleh. Ibu atau bapa yang tidak mendapat hak jagaan boleh memohon hak lawatan dan hak bermalam. Mahkamah boleh menetapkan jadual, tempat dan giliran cuti sekolah yang jelas, dengan kebajikan anak sebagai pertimbangan utama. Jika perintah lawatan tidak dipatuhi, ia boleh dikuatkuasakan melalui mahkamah.

Apa itu harta sepencarian dan apa yang boleh dituntut?

Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan, mengikut syarat yang ditentukan Hukum Syarak, sama ada melalui sumbangan langsung seperti wang atau sumbangan tidak langsung seperti menguruskan rumah tangga. Ia boleh merangkumi rumah, tanah, kenderaan, simpanan dan pelaburan, termasuk harta milik satu pihak sebelum berkahwin yang telah dimajukan dengan usaha bersama. Bahagian setiap pihak bergantung kepada bukti sumbangan.

Rujukan: Akta 303 s.2 dan s.122

Apakah tuntutan lain yang boleh dibuat selepas perceraian?

Selain nafkah iddah, bekas isteri boleh menuntut mutaah, iaitu bayaran saguhati kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut, dan mahar atau pemberian yang masih terhutang. Hak jagaan anak, nafkah anak dan harta sepencarian juga boleh dituntut jika belum diselesaikan.

Rujukan: Akta 303 s.56

Berapakah jumlah nafkah anak yang munasabah?

Tiada kadar tetap dalam undang-undang. Mahkamah menilai keperluan sebenar anak, seperti tempat tinggal, pakaian, makan minum, perubatan dan pendidikan, berbanding kemampuan dan pendapatan bapa. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mengeluarkan garis panduan skala pentaksiran nafkah anak sebagai panduan mahkamah, dan keperluan khas anak orang kurang upaya (OKU) diambil kira secara berasingan. Sediakan senarai perbelanjaan anak dan apa-apa bukti pendapatan bapa.

Rujukan: Arahan Amalan No. 5 Tahun 2019; Arahan Amalan No. 7 Tahun 2023

Sampai umur berapa bapa perlu menanggung nafkah anak?

Lazimnya sehingga anak berumur 18 tahun. Mahkamah boleh melanjutkannya supaya anak dapat meneruskan pelajaran atau latihan yang lebih tinggi. Perintah nafkah bagi anak perempuan yang belum berkahwin, dan bagi anak yang tidak mampu menyara diri kerana hilang upaya, tidak tamat pada umur 18 tahun.

Rujukan: Akta 303 s.79

Bolehkah ibu kehilangan hak hadhanah?

Boleh. Hak hadhanah seorang perempuan hilang jika dia berkahwin dengan orang yang tiada pertalian mahram dengan anak dan jagaannya menjejaskan kebajikan anak, berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka, berpindah dengan tujuan menghalang bapa mengawasi anak, keluar daripada Islam, atau mengabaikan atau menganiaya anak. Hak yang hilang kerana perkahwinan itu kembali jika perkahwinan tersebut dibubarkan. Selain itu, penjaga mesti sentiasa memenuhi syarat kelayakan, dan hak hadhanah berakhir apabila anak mencapai umur yang ditetapkan. Mahkamah menilai setiap dakwaan berdasarkan bukti.

Rujukan: Akta 303 s.82, s.83 dan s.84

Saya suri rumah dan tidak menyumbang wang. Adakah saya berhak ke atas harta sepencarian?

Ya. Menguruskan rumah tangga dan menjaga keluarga diiktiraf sebagai sumbangan tidak langsung. Bagi harta yang diperoleh dengan usaha tunggal satu pihak, mahkamah menilai takat sumbangan pihak yang satu lagi kepada kebajikan keluarga serta keperluan anak yang belum dewasa, lalu membahagikannya mengikut kadar yang munasabah. Pihak yang memperoleh harta itu dengan usahanya lazimnya menerima bahagian yang lebih besar, jadi bukti sumbangan anda amat penting.

Rujukan: Akta 303 s.122

Bilakah harta sepencarian boleh dituntut?

Semasa atau selepas perceraian, apabila suami memohon poligami, atau selepas kematian pasangan. Tiada had masa khusus ditetapkan, tetapi tuntutan perlu dibuat sesegera mungkin. Mahkamah boleh menolak tuntutan yang terlalu lewat, terutamanya jika pusaka telah dibahagikan.

Rujukan: Akta 303 s.23 dan s.122; Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003; Arahan Amalan No. 2 Tahun 2008

Apa itu nusyuz dan apa kesannya kepada nafkah?

Nusyuz ialah keadaan isteri enggan, tanpa sebab yang munasabah, menurut kemahuan atau perintah suami yang sah, contohnya meninggalkan rumah atau enggan berpindah bersama suami tanpa alasan yang diterima Hukum Syarak. Selagi nusyuz, isteri tidak berhak mendapat nafkah. Hak itu kembali apabila dia bertaubat dan kembali menurut perintah yang sah. Hanya mahkamah yang boleh memutuskan seseorang isteri nusyuz, dan ia tidak menjejaskan nafkah anak.

Rujukan: Akta 303 s.59(2); Arahan Amalan No. 11 Tahun 2001

Perkahwinan dan pusaka

Perkahwinan, pusaka dan kes lain

Urusan Mahkamah Syariah selain perceraian.

Saya bernikah di luar negara atau melalui sindiket. Bolehkah ia didaftarkan?

Bergantung kepada fakta. Pernikahan di luar negara yang sah mengikut Hukum Syarak perlu didaftarkan dalam tempoh enam bulan, sama ada di luar negara atau selepas pulang. Pendaftaran lewat masih boleh dibuat dengan penalti. Jika pernikahan itu dibuat tanpa kebenaran atau tidak mengikut prosedur, Mahkamah Syariah perlu berpuas hati ia sah mengikut Hukum Syarak sebelum memerintahkan pendaftaran, dan pasangan boleh didakwa atas kesalahan yang berkaitan. Jika mahkamah mendapati pernikahan itu tidak sah, contohnya kerana wali atau jurunikah tidak berkelayakan, pasangan perlu berpisah dan boleh bernikah semula dengan cara yang sah. Lihat Pengesahan Nikah Luar Negara.

Rujukan: Akta 303 s.12(2) dan s.31; Arahan Amalan No. 9 Tahun 2007; Arahan Amalan No. 9 Tahun 2023

Bagaimana cara memohon poligami?

Suami perlu mendapatkan kebenaran bertulis Mahkamah Syariah sebelum berkahwin lagi. Permohonan disertakan akuan tentang alasan, pendapatan, komitmen kewangan dan tanggungan, dan isteri sedia ada dipanggil hadir dalam pendengaran tertutup. Mahkamah perlu berpuas hati bahawa perkahwinan itu patut dan perlu, pemohon mampu menanggung semua isteri dan tanggungannya, mampu berlaku adil, dan perkahwinan itu tidak menyebabkan darar syarie kepada isteri sedia ada. Permohonan ini didengar di Mahkamah Tinggi Syariah. Lihat Permohonan Poligami.

Rujukan: Akta 303 s.23; Arahan Amalan No. 14 Tahun 2006

Apakah bantuan firma dalam urusan faraid dan pusaka?

Firma mengendalikan urusan pusaka di Mahkamah Syariah, termasuk permohonan sijil atau perintah faraid, penentuan waris, dan tuntutan harta sepencarian terhadap harta si mati. Pentadbiran dan pembahagian harta pusaka dibuat melalui saluran lain mengikut nilai dan jenis harta. Lihat Faraid dan Harta Pusaka.

Hibah arwah dipertikaikan waris. Apa yang boleh dibuat?

Penerima hibah boleh memohon pengesahan hibah di Mahkamah Syariah dengan membuktikan lafaz pemberian dan penerimaan (ijab dan qabul) serta penyerahan milikan (qabd) semasa hayat pemberi. Simpan apa-apa dokumen hibah, maklumat saksi dan bukti penyerahan. Lihat Hibah.

Apa kesannya jika berpoligami tanpa kebenaran mahkamah?

Ia satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sehingga RM1,000, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya. Perkahwinan itu tidak boleh didaftarkan melainkan mahkamah berpuas hati ia sah mengikut Hukum Syarak dan memerintahkan pendaftarannya. Suami juga perlu segera menjelaskan mas kahwin dan pemberian yang masih terhutang kepada isteri sedia ada.

Rujukan: Akta 303 s.23 dan s.123

Apa beza faraid dan hibah?

Faraid ialah pembahagian harta si mati kepada waris mengikut bahagian yang ditetapkan Hukum Syarak. Hibah ialah pemberian semasa hidup, dan harta yang telah dihibahkan dengan sempurna bukan lagi sebahagian daripada pusaka. Lihat Hibah.

Adakah anak angkat atau anak tiri mewarisi harta?

Tidak melalui faraid. Mereka boleh menerima harta melalui hibah semasa hayat pemberi, atau melalui wasiat yang tidak melebihi satu pertiga harta.

Suami meninggal dunia. Bolehkah isteri menuntut harta sepencarian sebelum faraid?

Boleh. Tuntutan dibuat terhadap waris si mati di Mahkamah Syariah. Bahagian harta sepencarian isteri diasingkan dahulu. Baki harta si mati, selepas belanja pengurusan jenazah, hutang dan wasiat, dibahagikan kepada waris mengikut faraid. Isteri masih menerima bahagian faraidnya daripada baki itu.

Rujukan: Arahan Amalan No. 5 Tahun 2003

Untuk apa sijil faraid?

Sijil atau perintah faraid dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah untuk menyatakan siapa waris si mati dan bahagian masing-masing. Dokumen ini digunakan dalam urusan pentadbiran dan pembahagian harta pusaka.

Panduan penuh

Baca panduan mengikut jenis kes

Jawapan di atas ringkas. Setiap halaman khidmat menerangkan undang-undang, proses, anggaran tempoh, dokumen dan keputusan mahkamah dengan lebih terperinci.

Soalan anda tiada di sini?

Ceritakan situasi anda secara sulit. Kami akan terangkan kedudukan anda dan langkah seterusnya.

Cara menghubungi kami · Khidmat guaman syarie · Profil peguam

Jawapan di halaman ini ialah maklumat undang-undang umum dan bukan nasihat guaman. Setiap kes bergantung kepada fakta dan penilaian mahkamah, dan tiada keputusan yang boleh dijamin. Hubungan peguam dan klien hanya wujud selepas lantikan rasmi. Rujukan seksyen ialah kepada undang-undang Wilayah Persekutuan dan Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia; nombor seksyen di Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka mungkin berbeza. Dikemas kini 13 Oktober 2026.

WhatsApp Kami