Khidmat Guaman Syarie

Peguam Hibah

Menerima hibah daripada ibu bapa atau pasangan, tetapi harta masih atas nama pemberi? Selepas pemberi meninggal dunia, hibah yang tidak didokumenkan dengan betul sering dipertikaikan oleh waris. Mahkamah Syariah memutuskan sama ada sesuatu hibah itu sah mengikut Hukum Syarak. Sebagai peguam hibah, kami bantu anda mendapatkan perintah pengesahan hibah dan menyediakan dokumen hibah yang teratur.

  • Peguam Syarie bertauliah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka
  • Konsultasi sulit, bersemuka atau dalam talian
Mohammad Akmal Aqil bin Sazali, Peguam Syarie
Mohammad Akmal Aqil bin SazaliPeguam Syarie, Akmal Aqil & Associates

Adakah ini situasi anda?

Pengesahan lebih mudah semasa saksi masih ada dan dokumen masih boleh dikesan. Penilaian awal membantu jika:

  • Anda menerima hibah secara lisan atau melalui surat, dan pemberi telah meninggal dunia.
  • Harta yang dihibahkan masih didaftarkan atas nama pemberi.
  • Waris lain mendakwa harta itu pusaka dan mahu ia dibahagikan mengikut faraid.
  • Pejabat tanah atau pentadbir pusaka meminta perintah Mahkamah Syariah sebelum hibah diiktiraf.
  • Hibah dibuat ketika pemberi sedang sakit tenat, dan kesahannya dipersoalkan.
  • Anda anak angkat, anak tiri atau bukan waris yang diberi harta semasa hayat pemberi.
  • Harta yang dihibahkan masih bercagar kepada bank.
  • Anda mahu menghibahkan harta sekarang dan perlukan dokumen hibah yang betul.
Asas undang-undang

Hibah di sisi undang-undang

Tiada akta khusus tentang hibah di Wilayah Persekutuan. Mahkamah Syariah memutuskannya mengikut Hukum Syarak.

PerkaraKedudukan undang-undang
Bidang kuasa hibahAkta 505 s.46(2)(b)(vi) · Selangor s.61(3)(b)(vi)Mahkamah Tinggi Syariah mendengar tindakan tentang alang semasa hidup, atau penyelesaian yang dibuat tanpa balasan yang memadai, oleh orang Islam.
Hibah semasa marad al-mautAkta 505 s.46(2)(b)(v)Pertikaian tentang alang semasa sakit yang membawa kepada kematian juga didengar oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Hukum yang dipakaiHukum Syarak, dengan Mazhab Syafie sebagai rujukan utama, serta fatwa negeri yang berkenaan.
Siapa yang terikatPerintah Mahkamah Syariah mengikat pihak yang beragama Islam. Bank dan pihak ketiga bukan Islam tidak terikat dengannya.

Akta 505 ialah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993. "Selangor" merujuk kepada Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Negeri Sembilan dan Melaka mempunyai peruntukan setara.

Bukan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Pendaftaran pindah milik tanah dibuat di pejabat tanah melalui Borang 14A di bawah Kanun Tanah Negara. Penentuan sempadan tanah, pelepasan gadaian bank dan pentadbiran pusaka juga diuruskan di luar Mahkamah Syariah. Perintah pengesahan hibah ialah dokumen yang anda bawa kepada pihak-pihak itu.
Penilaian mahkamah

Apa yang mahkamah semak

Mahkamah perlu berpuas hati bahawa rukun hibah dipenuhi dan penerima telah mengambil milikan semasa hayat pemberi.

RukunApa yang disemak
Pemberi hibahPemilik harta, berakal, baligh dan memberi secara sukarela.
Penerima hibahWujud dan boleh memiliki harta. Bagi kanak-kanak, penjaganya menerima bagi pihaknya.
Harta yang dihibahkanHarta yang tertentu, milik penuh pemberi dan tidak bercampur dengan hak orang lain seperti harta sepencarian.
Ijab dan kabulLafaz pemberian dan penerimaan. Tulisan yang ditandatangani, seperti Borang 14A, diterima sebagai ijab dan kabul.
Qabd (penerimaan milikan)Penerima menguasai harta dengan izin pemberi: tinggal di rumah itu, mengusahakan tanah atau menguruskan wang.
Qabd ialah isu yang paling kerap menentukan kes. Mengikut Mazhab Syafie, harta hibah tidak menjadi milik penerima melainkan dengan qabd yang diizinkan pemberi. Jika pemberi masih menguasai harta itu hingga meninggal dunia, hibah belum sempurna dan harta menjadi pusaka.

Rujukan: al-Nawawi, Minhaj al-Talibin, hlm. 171 (Shamela); al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, jil. 3, hlm. 561 dan 565 (Shamela, Shamela).

Perkara yang perlu difahami

  • Berkuat kuasa semasa hidup: hibah yang ditetapkan berkuat kuasa selepas kematian tidak dikira hibah.
  • Hibah bersyarat: syarat pemberi terus menikmati harta adalah sah jika penerima bersetuju. Syarat harta dikembalikan kepada pemberi selepas tempoh tertentu tidak diterima sebagai hibah yang sah.
  • Harta bercagar: sah jika dilindungi takaful seperti MRTT atau MLTT, atau pemegang gadaian memberi keizinan.
  • Menarik balik hibah: hanya ibu, bapa, datuk dan nenek boleh menarik balik hibah kepada anak atau cucu, semasa kedua-dua pihak masih hidup.
  • Hibah semasa marad al-maut: terhad kepada satu pertiga harta melainkan waris bersetuju.

Rujukan: Fatwa Hibah di Negeri Selangor, Sel. P.U. 8, diwartakan 8 April 2021; al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, jil. 3, hlm. 568 (Shamela); al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, jil. 8, hlm. 290 (Shamela). Fatwa ini diwartakan di Negeri Selangor.

Panduan interaktif

Proses pengesahan hibah

Amalan berbeza sedikit mengikut negeri. Jawab beberapa soalan ringkas untuk melihat langkah yang berkaitan dengan keadaan anda: apa yang berlaku, apa yang perlu dibuat dan dokumen yang perlu disediakan. Jawapan anda tidak disimpan atau dihantar.

Tempoh

Anggaran tempoh

KeadaanAnggaran kasar
Semua waris bersetuju, dokumen lengkap3 hingga 6 bulan
Hibah dipertikaikan, perlu perbicaraan9 hingga 18 bulan, atau lebih

Tempoh di atas ialah anggaran sahaja. Setiap kes berbeza, bergantung kepada bilangan waris, kehadiran saksi dan jadual mahkamah.

Dokumen dan bukti

  • Surat atau dokumen hibah, jika ada
  • Sijil kematian pemberi hibah
  • Geran tanah, penyata akaun atau dokumen hak milik harta
  • Bukti qabd: penerima tinggal di rumah itu, mengusahakan tanah, membayar cukai atau menguruskan harta
  • Butiran saksi yang mendengar lafaz hibah
  • Senarai waris dan dokumen pengenalan mereka
  • Rekod perubatan pemberi, jika keupayaannya dipersoalkan
  • Penyata pembiayaan dan sijil takaful, jika harta bercagar
Kes rujukan

Bagaimana Mahkamah Syariah memutuskan kes hibah

Keputusan mahkamah di bawah menunjukkan bagaimana hibah dinilai dalam amalan. Setiap kes bergantung pada fakta dan keterangannya sendiri; kes-kes ini tidak menjamin keputusan yang sama bagi kes lain.

Hibah yang disahkan

Hibah lisan disahkan: lafaz dan qabd dibuktikan

Dalam Perkara Ex P Siti Noor Aseera Awang [2007] 1 CLJ (SYA) 386, Mahkamah Tinggi Syariah Pahang

Fakta
Seorang bapa melafazkan pemberian tanah ladang, tapak rumah dan simpanan amanah saham kepada anak tunggalnya. Beliau telah mengambil Borang 14A, tetapi meninggal dunia sebelum pindah milik didaftarkan.
Keputusan
Hibah disahkan. Dua saksi lelaki mendengar lafaz pemberian. Anak itu tinggal di rumah tersebut, memegang geran dan buku akaun, serta menguruskan ladang. Pemohon juga mengangkat sumpah istizhar.
Maksudnya
Hibah lisan boleh disahkan jika lafaznya disokong saksi dan penerima telah menguasai harta.

Anak angkat: tinggal di rumah itu ialah qabd

Poolimahee Rajeswary lwn. Meah Hussain [2006] 1 CLJ (SYA) 159, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan

Fakta
Bapa angkat membuat surat hibah rumah dan tanah kepada anak angkatnya di hadapan dua saksi. Selepas beliau meninggal dunia, sijil faraid dikeluarkan tanpa mengambil kira hibah itu.
Keputusan
Hibah disahkan dan sijil faraid dibatalkan. Qabd berlaku kerana penerima memang tinggal di rumah tersebut. Bayaran pengambilan tanah oleh kerajaan diserahkan kepadanya.
Maksudnya
Anak angkat bukan waris faraid, tetapi hibah yang sempurna melindungi haknya.

Membina rumah di atas tanah: qarinah hibah

Nur Azwani Mat Arib lwn. Yusof Said [2017] SHRU 6, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu

Fakta
Tanah masih didaftarkan atas nama pemberi yang telah lama meninggal dunia. Penerima hibah telah membina rumah dan mengusahakan tanah itu semasa hayat pemberi tanpa bantahan sesiapa.
Keputusan
Hibah disahkan dan rayuan waris lain ditolak. Pembinaan rumah di atas tanah itu ialah qarinah yang mencukupi. Tertinggal menamakan beberapa waris sebagai pihak tidak membatalkan tuntutan.
Maksudnya
Perbuatan menguasai tanah semasa hayat pemberi ialah bukti yang kuat, walaupun geran tidak pernah ditukar nama.

Borang 14A ialah ijab dan kabul bertulis

Mai Jantan lwn. Marina Mohd Arif dan Satu Lagi [2007] 1 CLJ (SYA) 182, Mahkamah Rayuan Syariah Negeri Sembilan

Fakta
Seorang bapa memindah milik lima bidang tanah kepada dua anak perempuannya melalui Borang 14A di hadapan Penolong Pentadbir Tanah. Seorang waris mencabar hibah itu dengan alasan akal pemberi tidak stabil.
Keputusan
Rayuan ditolak dan hibah kekal sah. Borang 14A yang ditandatangani kedua-dua pihak ialah ijab dan kabul secara bertulis. Dakwaan akal tidak stabil tidak dibuktikan.
Maksudnya
Pihak yang mencabar hibah memikul beban membuktikan dakwaannya.

Pemberi meninggal dunia sebelum pindah milik saham selesai

Dalam Perkara Ex P Fathilah Sidik [2006] 1 CLJ (SYA) 324, Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang

Fakta
Pemberi menandatangani borang pindah milik saham kepada anak saudaranya di hadapan remisier. Beliau meninggal dunia sebelum proses selesai, dan borang itu kemudiannya tidak lagi diterima.
Keputusan
Saham disabitkan sebagai harta hibah dan diperintahkan dipindah milik. Tandatangan di hadapan remisier menunjukkan ijab dan kabul, disokong oleh pemberian lain yang dibuat semasa hidup.
Maksudnya
Halangan pentadbiran selepas kematian tidak semestinya menggugurkan hibah yang telah sempurna.

Hibah yang ditolak

"Pindah milik selepas saya meninggal": hibah tidak sah

Fatimah Hj Mohd Nong v. Mohd Azmi Mohd Yaacob & Anor [2011] 1 CLJ (SYA) 285, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan

Fakta
Pemberi menandatangani surat di hadapan dua saksi, memberikan "semua aset" kepada adiknya dengan syarat pindah milik dibuat selepas beliau meninggal dunia.
Keputusan
Hibah tidak sah. Tiada pindah milik atau penguasaan oleh penerima semasa hayat pemberi, dan harta tidak dinyatakan secara khusus dari segi alamat, lokasi dan jumlah.
Maksudnya
Dokumen hibah mesti berkuat kuasa semasa hidup dan menyebut harta dengan tepat.

Hibah amanah: pemberi masih menguasai wang

Noor Zaleha Mohd Noor lwn. Fatimah Ibrahim & Yang Lain [2021] SHRU 12, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu

Fakta
Seorang bapa menandatangani surat ikatan hibah amanah atas simpanan unit amanah melebihi RM355,000 kepada seorang anak. Surat itu membenarkan beliau terus menggunakan wang tersebut, dan wang hanya menjadi milik penerima selepas kematiannya.
Keputusan
Hibah tidak disabitkan. Saksi tidak dapat mengesahkan lafaz ijab dan kabul, tiada qabd semasa hidup kerana pemberi masih mengeluarkan wang, dan wang itu bercampur dengan bahagian harta sepencarian isteri terdahulu. Wang dibahagikan mengikut faraid.
Maksudnya
Dokumen yang ditandatangani tidak mencukupi jika pemberi tidak melepaskan penguasaan ke atas harta.

Menyimpan geran sahaja bukan qabd

Siti Khatijah Ismail lwn. Zainab @ Esah Hamid & Yang Lain [2017] SHRU 8, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu

Fakta
Seorang anak mendakwa bapanya menghibahkan tiga bidang tanah kepadanya, dengan pindah milik dibuat selepas kematian. Anak itu mengambil dan menyimpan geran tanah.
Keputusan
Tuntutan ditolak dan tanah dibahagikan mengikut faraid. Menyimpan geran semata-mata tidak memadai sebagai qabd selagi pemberi tidak melepaskan haknya dan penerima tidak mengusahakan tanah itu.
Maksudnya
Qabd dinilai melalui penguasaan sebenar ke atas harta, bukan pegangan dokumen.

Seorang saksi dan lafaz yang tidak jelas

Ibrahim Harun lwn. Mat Yusoff Mat Kassim [2013] SHRU 3, Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan

Fakta
Penuntut mendakwa tanah pusaka dihibahkan kepadanya dan mengemukakan seorang saksi sahaja, yang mendengar si mati berkata mahu memberikan tanah itu.
Keputusan
Mahkamah memutuskan hibah tidak berlaku. Keterangan seorang saksi itu tidak terang, dan pihak lawan telah mengangkat sumpah menafikannya.
Maksudnya
Hasrat untuk memberi belum menjadi hibah. Lafaz dan saksi yang mencukupi diperlukan.

Had perintah Mahkamah Syariah

Bahagian tanah mengikut Borang 14A, sempadan bukan urusan Mahkamah Syariah

Abdullah Zayawi Muda & Yang Lain lwn. Fatimah @ Rohani Deris [2017] SHRU 7, Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu

Fakta
Sebidang tanah dihibahkan kepada dua pihak dan didaftarkan melalui Borang 14A dengan bahagian tiga perempat dan satu perempat. Pertikaian timbul tentang batu sempadan yang ditunjukkan oleh pemberi.
Keputusan
Hibah disahkan dengan bahagian mengikut Borang 14A. Penentuan sempadan tanah terletak di bawah pihak berkuasa tanah menurut Kanun Tanah Negara, bukan Mahkamah Syariah.
Maksudnya
Mahkamah Syariah memutuskan sah atau tidak sesuatu hibah. Urusan ukur dan daftar tanah dibuat di pejabat tanah.

Harta bercagar: hak bank tidak terjejas

Hanipah Bi Daud & Satu Lagi lwn. Abdul Rahiman Dawood & Satu Lagi [2008] 1 CLJ (SYA) 384, Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan

Fakta
Saham sebuah syarikat dihibahkan dan hibah itu disahkan oleh mahkamah. Hartanah syarikat pula bercagar kepada bank. Apabila pinjaman tidak dibayar, bank melantik penerima dan pengurus, dan penerima hibah memohon mahkamah menghalangnya.
Keputusan
Permohonan ditolak. Perintah Mahkamah Syariah hanya mengikat orang Islam, dan hak pemegang cagaran tidak terjejas oleh hibah. Liabiliti atas harta itu turut berpindah kepada penerima hibah.
Maksudnya
Selesaikan kedudukan cagaran dengan pembiaya sebelum menghibahkan harta yang masih berhutang.
Khidmat kami

Bagaimana kami membantu

Peguam Syarie Akmal Aqil

Kami membantu dalam dua keadaan: mengesahkan hibah yang telah dibuat, dan menyediakan dokumen bagi hibah yang mahu dibuat sekarang.

  • Menilai kekuatan bukti hibah sebelum kes difailkan
  • Memfailkan tuntutan pengesahan hibah di Mahkamah Syariah
  • Mewakili anda jika waris mempertikaikan hibah
  • Menyediakan anda untuk Majlis Sulh, yang dihadiri sendiri tanpa peguam
  • Menyediakan dokumen hibah bagi pemberi yang masih hidup
  • Menyelaraskan tuntutan dengan permohonan sijil faraid dan harta sepencarian

Penyediaan dokumen hibah

Kes-kes mahkamah menunjukkan hibah gagal kerana dokumen yang lemah. Dokumen hibah yang kami sediakan memberi perhatian kepada perkara berikut:

  • Harta dinyatakan dengan tepat: nombor hak milik, alamat, nombor akaun dan kadar bahagian
  • Hibah berkuat kuasa serta-merta, bukan selepas kematian
  • Lafaz ijab dan kabul direkodkan dan disaksikan
  • Cara qabd dinyatakan dan dilaksanakan semasa hayat pemberi
  • Kedudukan harta bercagar dan harta sepencarian disemak terlebih dahulu
  • Langkah pindah milik di pejabat tanah diterangkan supaya hibah dapat didaftarkan

Khidmat Penuh

Peguam menguruskan kes dari semakan bukti hingga perintah, termasuk mewakili anda di mahkamah.

Penyediaan Pliding

Anda menguruskan kes sendiri tetapi perlukan tuntutan dan afidavit disediakan dengan betul.

Penyediaan Hujahan

Anda hadir sendiri ke mahkamah tetapi perlukan hujahan bertulis yang tersusun.

Skop kerja dan anggaran kos diterangkan semasa konsultasi awal, sebelum anda membuat keputusan untuk melantik peguam. Lihat juga profil dan tauliah peguam serta semua khidmat guaman.

Soalan lazim

Soalan lazim tentang hibah

Adakah hibah lisan sah?

Boleh sah jika rukunnya dipenuhi, tetapi ia perlu dibuktikan melalui saksi dan bukti qabd. Mahkamah pernah mengesahkan hibah lisan yang didengar dua saksi, dan pernah menolak tuntutan yang hanya disokong seorang saksi.

Apa itu qabd dan kenapa ia penting?

Qabd ialah penerimaan milikan oleh penerima dengan izin pemberi. Mengikut Mazhab Syafie, harta hibah tidak menjadi milik penerima tanpa qabd. Tinggal di rumah itu, mengusahakan tanah atau menguruskan harta ialah contoh qabd.

Rumah masih atas nama arwah. Bolehkah hibah disahkan?

Boleh dipohon. Mahkamah menilai bukti lafaz hibah dan qabd semasa hayat pemberi, bukan nama pada geran semata-mata.

Saya hanya menyimpan geran tanah. Adakah itu cukup?

Lazimnya tidak. Mahkamah pernah memutuskan bahawa menyimpan geran sahaja bukan qabd jika pemberi tidak melepaskan haknya dan penerima tidak menguasai tanah itu.

Bolehkah hibah dibuat dengan syarat harta berpindah selepas pemberi meninggal dunia?

Hibah mesti berkuat kuasa semasa hidup. Fatwa Negeri Selangor 2021 menyatakan hibah yang ditetapkan berkuat kuasa selepas kematian tidak dikira hibah. Mahkamah juga pernah menolak hibah yang mensyaratkan pindah milik selepas kematian.

Bagaimana dengan hibah bersyarat seperti umra dan ruqba?

Mengikut Fatwa Negeri Selangor 2021, hibah dengan syarat pemberi masih boleh menikmati harta adalah sah jika penerima bersetuju. Hibah dengan syarat harta dikembalikan kepada pemberi selepas tempoh tertentu pula tidak diterima sebagai hibah yang sah. Dapatkan nasihat sebelum menandatangani dokumen hibah bersyarat.

Bolehkah rumah yang masih berhutang dengan bank dihibahkan?

Mengikut Fatwa Negeri Selangor 2021, hibah harta dalam gadaian adalah sah jika harta itu dilindungi takaful seperti MRTT atau MLTT, atau pemegang gadaian memberi keizinan. Hak bank ke atas cagaran tidak terjejas oleh hibah.

Hibah dibuat ketika pemberi sakit tenat. Adakah ia sah?

Mengikut Mazhab Syafie, pemberian semasa marad al-maut terhad kepada satu pertiga harta melainkan waris bersetuju. Kedudukannya bergantung kepada keadaan pemberi dan bukti perubatan.

Bolehkah ibu bapa menarik balik hibah kepada anak?

Boleh. Ibu, bapa, datuk dan nenek boleh menarik balik hibah kepada anak atau cucu selagi harta masih dimiliki penerima dan kedua-dua pihak masih hidup. Hibah kepada orang lain tidak boleh ditarik balik selepas qabd.

Adakah perintah Mahkamah Syariah terus menukar nama pada geran?

Tidak. Mahkamah Syariah mengesahkan hibah. Pendaftaran pindah milik dibuat di pejabat tanah di bawah Kanun Tanah Negara, dan urusan dengan bank dibuat secara berasingan.

Saya waris dan mahu mempertikaikan hibah. Bolehkah?

Boleh. Waris boleh membantah dalam prosiding pengesahan dan mengemukakan bukti. Hubungi kami untuk penilaian.

Berapa lama proses pengesahan hibah?

Anggaran kasar 3 hingga 6 bulan jika semua waris bersetuju, dan 9 hingga 18 bulan atau lebih jika dipertikaikan. Setiap kes berbeza.

Kes saya di Selangor, Negeri Sembilan atau Melaka. Adakah firma boleh membantu?

Boleh. Peguam firma bertauliah beramal di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka. Konsultasi boleh dibuat secara bersemuka atau dalam talian.

Sahkan hibah sebelum ia dipertikaikan

Kongsikan dokumen dan situasi anda secara sulit. Kami akan terangkan kekuatan bukti anda, dokumen yang diperlukan dan langkah seterusnya.

Khidmat berkaitan

Maklumat di halaman ini ialah maklumat undang-undang umum dan bukan nasihat guaman. Kesahan hibah bergantung kepada penilaian mahkamah terhadap bukti, dan tiada keputusan yang boleh dijamin. Hubungan peguam dan klien hanya wujud selepas lantikan rasmi.

WhatsApp Kami