Akta 355 Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
Memberi bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah dan menetapkan had maksimum hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah undang-undang negeri.
Teks ini dikemas kini sehingga pindaan yang berkuat kuasa 24 Julai 1997. Bidang kuasa: Terpakai di seluruh Malaysia.
Suatu Akta untuk memberi bidang kuasa kepada Mahkamah yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang Negeri bagi maksud membicarakan kesalahan di bawah hukum Syarak.
[1 April 1965]
MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya, seperti yang berikut:
Tentang Akta 355
Halaman ini memuatkan teks penuh Akta 355, iaitu Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, dalam Bahasa Melayu. Akta ini mengandungi 3 seksyen (seksyen 1 hingga 3). Memberi bidang kuasa jenayah kepada Mahkamah Syariah dan menetapkan had maksimum hukuman yang boleh dikenakan bagi kesalahan di bawah undang-undang negeri. Teks dikemas kini sehingga pindaan yang berkuat kuasa 24 Julai 1997. Gunakan kotak carian atau isi kandungan untuk terus ke seksyen yang anda perlukan.
Seksyen 1 Tajuk ringkas dan pemakaian
(1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.
(2) Akta ini hendaklah terpakai di seluruh Malaysia.
Seksyen 2 Bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah
Mahkamah Syariah yang ditubuhkan dengan sempurnanya di bawah mana-mana undang-undang dalam sesuatu Negeri dan diberi bidang kuasa ke atas orang yang menganuti agama Islam dan berkenaan dengan mana-mana perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai II bagi Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan kepada Perlembagaan Persekutuan adalah dengan ini diberi bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan terhadap rukun agama Islam oleh orang yang menganuti agama tersebut yang boleh ditetapkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis:
Dengan syarat bahawa bidang kuasa sedemikian tidaklah boleh dijalankan berkenaan dengan apa-apa kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi lima ribu ringgit atau sebatan melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman tersebut.
Seksyen 3 Pengesahan
Segala kesalahan di bawah hukum Syarak yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta ini, yang berhubungan dengan Negeri-Negeri di Semenanjung Malaysia dan yang sebelum mula berkuatkuasanya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan dan Perluasan) 1989 [Akta A730] yang berhubungan dengan Negeri-Negeri Sabah dan Sarawak telah dibicarakan oleh mana-mana Mahkamah yang disebut terdahulu hendaklah disifatkan telah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya telah diberi kepada Mahkamah tersebut oleh undang-undang Persekutuan.
Teks di laman ini disediakan oleh Akmal Aqil & Associates sebagai rujukan umum dan bukan teks rasmi. Teks yang sah ialah teks yang diwartakan oleh Kerajaan. Teks ini dikemas kini sehingga pindaan yang berkuat kuasa 24 Julai 1997. Sila semak pindaan terkini sebelum bergantung kepada mana-mana peruntukan. Maklumat ini bukan nasihat guaman.
Akta lain dalam perpustakaan ini
- Akta 303Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984
- Akta 505Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993
- Akta 559Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
- Akta 560Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
- Akta 561Akta Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997
- Akta 585Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998
- Akta 814Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019
Perlukan pandangan tentang peruntukan ini?
Teks undang-undang hanya permulaan. Kami terangkan bagaimana peruntukan ini terpakai pada fakta kes anda di Mahkamah Syariah.